KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 — Dalam sebuah pengumuman yang dinanti-nantikan oleh para pencinta seni tanah air, syarikat produksi Tanahair Films Sdn. Bhd. secara rasmi memperkenalkan Konsert Legasi P. Ramlee, sebuah acara gilang-gemilang yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Acara berprestij ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh di bawah inisiatif ‘Projek Perdana P. Ramlee’, sebuah gerakan kreatif nasional bagi mengangkat kembali karya-karya agung Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee, dalam bentuk persembahan moden, dramatik dan berkelas dunia.
Dalam sidang media pelancaran yang berlangsung di Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang, pengasas Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, memperkenalkan barisan artis, pemuzik dan pengarah muzik yang akan menjayakan pementasan tersebut.
Konsert ini menjanjikan persembahan lebih 30 karya agung P. Ramlee yang akan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk — medley, duet dan solo — dalam gaya kontemporari, klasik dan sinematik. Persembahan ini akan digerakkan oleh empat figura maestro muzik paling berpengaruh di Malaysia: Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapen, dengan sokongan 60 pemuzik orkestra profesional.
Gabungan unik ini mewujudkan satu pengalaman pementasan yang menyentuh perasaan, penuh nostalgia tetapi kaya dengan susunan muzik moden.
“Kita tak mahu hanya buat konsert nostalgia. Kita nak ia hidup semula. Lagu-lagu ini masih relevan — cuma pendekatannya perlu segar dan bertaraf dunia,”
– Dato’ Ramli MS
“Kita kena ‘up’ lagi tahap susunan lagu P. Ramlee — bukan sekadar biasa. Kita nak ia kedengaran antarabangsa, ‘wow’! Walaupun saya dah banyak kali susun lagu P. Ramlee dalam karier saya, konsert ini cabar kita ke tahap seterusnya,”
– Helen Yap
Turut membarisi pentas ialah nama-nama besar yang tidak asing dalam dunia muzik tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, MimiFly dan Nadeera, yang akan mengekspresikan lagu-lagu ikonik dengan gaya tersendiri, membuktikan betapa luas dan fleksibelnya legasi P. Ramlee merentas generasi.
Di bawah pengarahan artistik Adlin Aman Ramlie, konsert ini bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah sebuah pentas bercerita — merentas masa, menyatu seni pentas, muzik, emosi dan visual dalam bentuk dramatik dan sinematik.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor,”
– Adlin Aman Ramlie
Sebagai tambahan istimewa, tiga figura impersonator yang dikenali atas keupayaan mereka menghidupkan semula aura dan gaya P. Ramlee — P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee — akan tampil dalam segmen khas. Mereka dijangka membawa penonton mengembara ke zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas melalui suara, gaya, gerak tubuh dan penghayatan watak ikonik yang sinonim dengan Seniman Agung itu.
“Kalau kita lihat P. Ramlee, beliau bukan sekadar buat lagu. Dia cipta dunia. Dunia itu kekal sampai hari ini — dan tugas kita sekarang adalah memanggil semula roh dunia itu untuk generasi baru fahami dan hargai,”
– Michael Veerapen
Konsert ini juga adalah kesinambungan kepada Legasi Podcast yang dilancarkan pada September 2024 — satu platform audio dokumentari yang mengetengahkan kisah-kisah di sebalik kejayaan P. Ramlee dalam bahasa yang moden dan mesra generasi muda.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah jambatan budaya — menghubungkan generasi lama dengan baharu, menyatu nilai-nilai seni yang tak lapuk dek zaman,”
– Dato’ Khairul Anwar Salleh
Bersama Legasi Podcast dan Konsert Legasi, Tanahair Films sedang membentuk satu ekosistem warisan seni yang dinamik, dengan cita-cita untuk menjadikan seni Melayu klasik relevan semula di pentas global.
Lahir pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, Tan Sri P. Ramlee merupakan figura seni paling berpengaruh dalam sejarah hiburan Melayu. Sepanjang kerjayanya, beliau menghasilkan lebih 60 filem dan menggubah lebih 300 lagu, melakar sejarah sebagai ikon budaya yang merentas sempadan bahasa, bangsa dan negara.
Beliau bukan sahaja seorang pelakon, malah pengarah, penulis skrip, komposer dan penyair. Kejayaannya menjangkaui layar perak apabila filem arahannya seperti Hang Tuah, Anakku Sazali, Ibu Mertuaku, dan Tiga Abdul memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuk Festival Filem Asia Tokyo, Festival Filem Antarabangsa Berlin dan Anugerah Seniman Terbilang.
Karya-karyanya bukan hanya memperkenalkan bentuk hiburan baharu kepada masyarakat Melayu, tetapi turut memartabatkan bahasa, puisi dan nilai-nilai budaya tempatan ke tahap yang belum pernah dicapai sebelumnya.
Hari ini, lebih lima dekad selepas pemergiannya, nama P. Ramlee masih disebut dengan penuh hormat, lagunya masih diputarkan, filemnya masih ditayangkan, dan semangatnya masih hidup — seperti yang ingin disampaikan melalui konsert ini.
Tiket mula dijual pada Jumaat, 27 Jun 2025 menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my. Ikuti perkembangan konsert di media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms, dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok untuk sorotan eksklusif, temubual belakang tabir dan info terkini.
Konsert Legasi P. Ramlee bukan sekadar pentas hiburan — ia adalah satu perayaan warisan, satu gerakan budaya, dan satu pengiktirafan abadi kepada seorang seniman yang telah memberi makna kepada istilah “seni yang hidup sepanjang zaman”.