‘Siapa Tak Mahu Anak’

KUALA LUMPUR: Dua tahun mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata, pelakon Siti Elizad mengakui ada ketika hatinya terguris apabila berterusan diaju persoalan mengenai zuriat.

Isteri kepada kakitangan syarikat permotoran antarabangsa, Shamsul Baharin Rahman, itu berkata, hatinya terluka apabila segelintir pihak membuat andaian dirinya sengaja menangguhkan keinginan berkenaan kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

“Siapa yang tidak mahu anak? Seperti wanita lain yang bergelar isteri, keinginan untuk memiliki zuriat sendiri tidak pernah terpadam.

“Mungkin rezeki saya dalam dunia seni lebih murah dan kerana itu, Tuhan belum memberi rezeki saya menimang cahaya mata.

“Saya yakin dengan aturan Allah. Cuma, kadang-kadang tipulah jika saya tidak sedih dan terguris dengan orang sekeliling yang kerap bertanya soalan yang sama. Dalam hal ini, saya bersyukur kerana suami dan keluarga amat memahami.

“Rumah saya tetap meriah dengan kehadiran anak tiri selain anak saudara,” katanya yang mempunyai dua anak tiri hasil perkahwinan terdahulu suaminya.

Tidak berhenti berusaha, pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Teman Lelaki Upahan itu merancang bertemu pakar kesuburan untuk mendapatkan pandangan.

“Usia saya semakin meningkat, tambahan pula saya mempunyai ketumbuhan dalam rahim. Ini kali kedua saya menghidapinya.

Dua tahun lalu, saya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu. “Diikutkan sejak hujung tahun lalu, saya patut membuat pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu tetapi kesibukan kerja selain menunaikan umrah membuatkan pembedahan itu terpaksa ditangguhkan.

“Doktor ada memaklumkan selepas menjalani pembedahan, saya harus menangguhkan hasrat untuk mengandung selama setahun. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan, namun saya sentiasa berdoa diberikan rezeki untuk hamil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizad yang sepanjang Ramadan ini terikat dengan penggambaran drama 20 episod, My Darling Inspektor Daniel bersama Aaron Aziz, selain mempromosikan koleksi baju raya Nostalgia Syawal 1438 Elizad Sharifuddin X The Hashtag.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.