Polis Tembak Mata Penyeludup Senjata Api dan Dadah

ALOR SETAR – Seorang lelaki disyaki penyeludup senjata api dan dadah ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan di persimpangan jalan Kampung Weng Dalam menghala Kampung Ulu Lenggong, Baling dekat sini awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu berlaku ketika sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, polis kemudian menghampiri kereta yang diletakkan di tepi jalan itu dan mengarahkan seorang lelaki yang duduk di tempat pemandu supaya keluar untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melepaskan tembakan dari dalam kereta sebelum meluru keluar melalui pintu hadapan penumpang dan terus melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, polis kemudian bertindak membalas tembakan mengakibatkan suspek rebah dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada kepala dan dada.

“Kita percaya suspek berkemungkinan sedang menunggu pelanggannya untuk mengedar dadah,” ujarnya.

Menurut Asri, pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol semi auto jenis Norinco bersama kelopak, lapan peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai RM1,000 dan dua pasang nombor pendaftaran kenderaan masing-masing bernombor WNS 5168 dan BNW 217.

“Semakan nombor pendaftaran kereta yang digunakan suspek mendapati ia palsu yang mana nombor itu didaftarkan ke atas sebuah motosikal jenis SYM,” jelasnya.

Asri berkata, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan ke atas rumah suspek di Kampung Selarong di Pengkalan Hulu, Perak dan menemui sebatang bom buatan sendiri jenis batang paip, pelbagai jenis peluru hidup dan syabu seberat 250 gram dianggarkan bernilai RM17,500.

“Kita bertindak menahan isteri suspek, seorang warga Thailand berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan,” katanya.- Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.