Persiapan Raya Sekeluarga Hangus

SABAK BERNAM – Impian seorang ibu tunggal untuk melihat kegembiraan empat anaknya menyambut hari raya hancur apabila semua persiapan yang dibuatnya hangus dalam kebakaran di Kampung Tebuk Jawa di sini pagi ini.

Menurut Norrafeah Siren, 48, kejadian itu amat mengejutkannya kerana tidak disangka-sangka dia dan anak-anaknya kini telah tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian tersebut yang memusnahkan seluruh rumah miliknya kira-kira pukul 9 pagi ini.

Bagaimanapun, dia menyatakan rasa syukur kerana dia dan empat anaknya selamat.

“Saya hanya dimaklumkan rumah saya terbakar kira-kira pukul 9 pagi ini dari seorang anak jiran. Ketika kejadian, saya bersama tiga anak saya bermalam di rumah kakak yang terletak selangor beberapa rumah sahaja manakala anak sulung saya bekerja di Melaka.

“Kemudiannya, saya bergegas pulang ke rumah, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa sebab tengok api sudah marak menjilat seluruh rumah. Jadi, tidak sempat hendak selamatkan dokumen penting, barang berharga dan pakaian termasuk persiapan raya.

“Rasa sedih melihat barang-barang rumah dan persiapan hari raya rentung. Bertambah sedih bila lihat anak-anak yang terpaksa berhari raya ala kadar sahaja kali ini,” katanya ketika ditemui di sini selain menyatakan buat masa ini dia sekeluarga menumpang di rumah kakaknya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sabak Bernam, Mohd. Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.23 pagi ini.

“Sebaik menerima panggilan, sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota diketuai Pegawai Operasi, Azhar Ngahrawi dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

“Ketika bomba sampai, didapati rumah terbabit telah terbakar 90 peratus,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya mengambil masa kira-kira tiga jam memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga malang tersebut boleh menyalurkan sumbangan kewangan melalui akaun Maybank 112090043244 atau menghubungi mangsa di talian 019-9188948- Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.