Nana ‘Kerdil’ Berduet Dengan Jaclyn Victor

KUALA LUMPUR: Di sebalik keterujaan berpeluang bergandingan bersama penyanyi hebat, Jaclyn Victor, timbul keresahan kepada Siti Nordiana sejauh mana kerjasama mereka dalam Nisan Cinta akan diterima peminat.

Mengakui ‘kerdil’ untuk digandingkan dengan penyanyi yang pernah meraih pelbagai pengiktirafan itu, Siti Nordiana atau Nana berkata, pencapaian cemerlang Jaclyn yang mesra disapa Jac membuatnya gusar jika kemampuan mereka dibandingkan.

“Pada permulaan, saya agak risau kerana umum mengetahui kemampuan vokal Jac yang cukup hebat. Pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya sebelum lagu itu dirakamkan. Perkara utama, mampukah saya memberi persembahan setanding mutu vokal Jac?

“Mendengar hasil terakhir terutama selepas proses adunan dibuat, saya lega kerana masing-masing cuba mengimbangi kekuatan antara satu sama lain. Saya akui agak resah kerana kami merakamkan bahagian masing-masing secara berasingan,” katanya.

Mengambil masa dua hari untuk menyempurnakan rakaman itu, bakat yang diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu berkata, Nisan Cinta dihasilkan trio Hael Hussaini, Ezra Kong dan Mike Chan.

Lagu itu bakal menghiasi drama rantaian, Dendam Aurora terbitan Global Station yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

Bagi Nana yang juga pelakon Dia Semanis Honey itu, kemunculan lagu duet itu diharap menjadi kesinambungan kepada kerjaya nyanyiannya yang menjadi cinta pertamanya.

“Saya harap lagu ini dapat menjadi bukti saya masih minat menyanyi. Sebelum ini, ramai yang menyangka apabila mula berlakon, saya akan melupakan dunia nyanyian,” katanya.

Hanya bercuti sehingga 4 Syawal sebelum kembali aktif memenuhi undangan persembahan, Nana juga akan kembali ke lokasi penggambaran drama terbaharu, Pengantin Musim Salju yang kembali menggandingkannya dengan Alif Satar.

“Saya masih mempunyai masa untuk membuat persediaan kerana mengikut perancangan, drama ini hanya akan menemui penonton pada tahun depan,” katanya.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.