Keselamatan Di Sempadan Terkawal Semasa Perayaan – ATM

LUNDU – Keselamatan di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia ketika musim perayaan adalah terkawal, kata Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Stephen berkata pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus bekerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD) dan agensi-agensi keselamatan lain untuk terus mengawal sempadan kedua buah negara.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan negara jiran, terutamanya TNI-AD dalam membendung sebarang ancaman di perbatasan.

Stephen menyatakan demikian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota tentera yang sedang melaksanakan operasi di perbatasan bertempat di Pos JPG Biawak, iaitu kira-kira 80 kilometer dari Kuching.

Stephen berkata majlis berbuka puasa ini diadakan bagi menghargai jasa mereka yang tidak dapat bersama keluarga menjelang syawal dan diharap dapat memberi sokongan moral kepada semua peringkat anggota yang sanggup mengorbankan suasana perayaan demi keselamatan dan keamanan negara.

Katanya, anggota terlibat wajar mendapat pujian kerana sanggup berkorban bagi memastikankan masyarakat dapat menyambut perayaan Syawal dengan rasa gembira, aman serta tanpa perasaan bimbang.

Beliau juga berpesan kepada anggota yang ditugaskan di sempadan agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi memastikan keselamatan di sempadan negara sentiasa selamat.

Stephen turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat tempatan atas sokongan dan kerjasama yang baik kepada pihak tentera dalam memastikan keselamatan di sempadan negara.

Pada majlis tersebut beliau menyampaikan sumbangsih kuih raya Kerajaan Negeri Sarawak kepada anggota Tentera Darat Malaysia dan TNI-AD yang bertugas di pos tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Memerintah Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja Lt. Kol Mohd Nizam Masri dan Ketua Platun TNI-AD Letda Hendri J. Situmeang. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.