Kes Set Golf: KP JPJ Sedia Beri Kerjasama Kepada SPRM

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan set golf.

Katanya, beliau dan beberapa anggotanya telah dua kali hadir ke pejabat SPRM Selangor pada hari Khamis dan semalam, untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.

“Saya telah dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini, begitu juga dengan anggota JPJ yang lain sekiranya mereka perlu memberi keterangan kepada SPRM, ” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Kuala Langat hari ini.

Semalam, SPRM dilaporkan mengesahkan telah memanggil Nadzri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima set golf bernilai RM45,000 sebagai hadiah.

Turut dilaporkan semalam, Ketua Persuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula Nadzri bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dzulkifli juga berkata pihaknya turut akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.

Sementara itu ditanya sama ada beliau ada menyerahkan apa-apa dokumen kepada SPRM, Nadzri berkata sehingga kini tiada permintaan daripada SPRM untuk beliau mahupun JPJ untuk berbuat demikian.

Mengenai operasi sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula tengah malam ini sehingga 2 Julai depan, Nadzri berkata pihaknya menyasarkan penurunan kadar kemalangan dan kematian sebanyak 50 peratus pada musim perayaan kali ini.

“JPJ turut akan membuka 38 stesen penguatkuasaan sementara di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. JPJ juga akan melakukan rondaan di 231 lokasi yang kerap berlaku kemalangan, ” katanya, sambil menambah operasi kali ini akan melibatkan 3,128 anggota dan 815 buah kenderaan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.