Doktor Gagal Lapor Polis Zulfarhan Dipukul Akan Dipanggil – Dr Subramaniam

KLANG – Kementerian Kesihatan akan memanggil doktor yang merawat penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang mati akibat didera baru-baru ini, dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, doktor berkenaan sepatutnya bertindak segera dengan melaporkan kepada polis sekiranya curiga dengan kecederaan seseorang pesakit.

“Menjadi amalan biasa doktor perlu melaporkan (kepada polis) jika sangsi wujud isu berkaitan jenayah. Memang doktor tiada hak kerana ia babitkan kes jenayah, namun seseorang doktor perlu tahu mereka perlu lapor (kepada polis),” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Highlands, di sini, hari ini.

Zulfarhan sebelum ini dibawa beberapa individu ke klinik swasta di Bangi, namun mereka dipercayai menipu doktor terbabit mengenai punca kecederaan mangsa.

Siasatan awal polis mendapati individu terbabit memaklumkan kepada doktor bahawa kecederaan dialami Zulfarhan disebabkan latihan ketenteraan dijalani mereka di UPNM.

Doktor terbabit juga mendakwa sudah mengeluarkan surat rujukan supaya mangsa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, tetapi mangsa dan rakannya menolak dengan alasan wujud masalah dengan pihak universiti.

Mangsa dibawa ke sebuah klinik swasta di Bangi pada 27 Mei dan sekali lagi pada 31 Mei untuk rawatan susulan sebelum dimasukkan ke Hospital Serdang dengan kesan lecur hampir 80 peratus pada tubuhnya, namun meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Ditanya tindakan yang boleh dikenakan terhadap doktor terbabit, Dr Subramaniam berkata, hanya polis boleh mengambil tindakan jika wujud keperluan untuk berbuat demikian. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.