Umno Sungai Besar Kecewa, Nazri Aziz Rasmi Program DAP

Kuala Lumpur – Umno Bahagian Sungai Besar meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hadir ke Sekinchan merasmikan program DAP.

 

Ketuanya, Datuk Jamal Md Yunos berkata, tindakan Nazri itu tidak menghormati kepimpinan Umno bahagian itu apabila tidak dimaklumkan secara rasmi.

 

“Program ini anjuran pihak DAP. Kita tahu beliau adalah menteri daripada Umno. Apa salahnya kalau nak rasmikan program beritahu kepada Umno bahagian?

 

“Kalau tak nak melalui Umno bahagian pun tak apa tetapi mesti melalui wakil rakyat BN di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Jamal berkata salah seorang pegawai Nazri sudah dimaklumkan agar menimbang semula hasrat menteri itu hadir ke Sekinchan bagi merasmikan beberapa program di kawasan itu.

 

Katanya, kehadiran Nazri pada program itu memberi kemenangan moral kepada parti lawan yang beranggapan sudah tiada perbezaan antara kerajaan dan parti pembangkang.

 

“Kehadiran Nazri juga mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan ahli Umno dan penyokong BN di kawasan itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

 

Jamal berkata Nazri seharusnya lebih berprinsip dan memberi penjelasan sejak bila Umno dibolehkan mengadakan hubungan dan kerjasama dengan pembangkang.

 

Nazri berkata kedatangannya ke Sekinchan atas kapisiti sebagai menteri bertanggungjawab dalam menggalak sektor pelancongan negara, lapor akhbar itu.

 

“Kelantan saya dah pergi, Pulau Pinang pun dah pergi. Sektor pelancongan di Selangor istimewa, kenapa saya tak pergi?

 

“Kalau saya tak pedulikan Selangor, rugilah sebab ini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya.

 

“Kalau orang tak datang sini, saya kena tanggung. Itu sebab saya kena turun, orang kena faham,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

 

Dalam perkembangan lain, Puteri Umno Kota Tinggi mendesak Nazri memohon maaf kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kenyataannya yang menurutnya mengguris hati warga Johor.

 

Ketuanya, Aziah Atan berkata desakan itu terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Nazri di Parlimen semalam.

 

“Kedatangan kami secara jelas menyatakan kekesalan dan rasa amarah kami sebagai rakyat Johor berkaitan isu tersebut. Kami juga menyatakan dengan jelas pandangan dan pendirian kami sebagai rakyat Johor.

 

“Dalam pertemuan itu, kami mendengar penjelasan dari Nazri sendiri tentang maksud sebenar yang ingin disampaikan beliau.

 

“Beliau menyatakan bahawa kenyataannya tidak dimaksudkan kepada TMJ tetapi lebih secara umum. Beliau juga bermaksud agar institusi diraja tidak dicemuh oleh rakyat apabila terlibat secara langsung dalam politik,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.