Muatan RON95 Kapal Tangki MT Orkim Harmony Selamat – Pemilik

PUTRAJAYA – Muatan petrol RON95 bernilai RM21 juta yang dibawa Kapal MT Orkim Harmony dipercayai tidak terjejas, demikian menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik kapal yang dipanggil bagi membuat pengecaman selepas kapal itu ditemukan semalam.

 

Berdasarkan gambar yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, pemilik kapal mengesahkan kedudukan paras muatan 6,000 tan metrik petrol yang dibawa kapal kekal, katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Beliau berkata apabila proses mengambil alih kapal daripada penjenayah selesai, pemilik kapal telah menyatakan hasrat agar kapal itu dapat dibawa ke Kuantan, Pahang.

 

Kapal MT Orkim Harmony dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal tangki yang dimiliki Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

 

Ahmad Puzi berkata, kapal itu ditemukan semula pada jam 6 petang semalam di perairan Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam.

 

Beliau berkata, rompakan ke atas kapal tangki tersebut disyaki dilakukan antara tujuh hingga 12 orang penjenayah.

 

Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan rekod dan fakta kes terdahulu iaitu penjenayah akan membuat kawalan di seluruh kapal iaitu meliputi bilik jentera, anjungan serta bahagian-bahagian strategik lain.

 

“Kita belum peroleh maklumat tepat berkenaan jumlah penjenayah tetapi fakta daripada enam kes rompakan sebelum ini menunjukkan lima hingga sembilan orang terlibat dan berdasarkan saiz kapal dan muatan kapal ini, kita percaya lebih ramai yang terbabit,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti identiti penjenayah dan tujuan mereka merompak kapal yang membawa muatan petrol bersama 22 anak kapal tersebut.

 

Ahmad Puzi berkata, jika tujuan rompakan adalah untuk menjual barangan muatan atau memeras ugut, penjenayah akan segera memindahkan barangan yang dirompak ke kapal atau pihak pembeli serta meminta wang tebusan tetapi setakat ini kedua-dua elemen itu tidak berlaku.

 

Beliau berkata, kapal yang dicat semula di beberapa bahagian tertentu yang ditemukan kira-kira 200 batu nautika dari Kota Baharu, Kelantan itu juga telah ditukar nama kepada Kim Harmon.

 

Mengenai andaian ‘orang dalam’ terlibat dalam rompakan berikutan cat baharu pada kapal yang mungkin disediakan mereka yang berkenaan, beliau menjelaskan cat tersebut sebenarnya sentiasa berada di dalam stor kapal berkenaan bagi kegunaan anak kapal mengecat semula bahagian kapal yang rosak atau pudar warnanya.

 

Ahmad Puzi berkata rundingan dengan penjenayah yang dipercayai memiliki senjata ringan telah dimulakan sejak 12 tengah hari tadi dalam ‘mood yang baik’ dan setakat ini semua anak kapal diyakini selamat.

 

Katanya, proses rundingan yang dijangka mengambil sedikit masa itu dilaksanakan secara profesional oleh jururunding terlatih bagi memastikan penjenayah meletak senjata dan menyerah tanpa syarat.

 

“Kita akui proses ini sukar dan memakan masa tetapi seboleh mungkin kita ingin elak penjenayah daripada meletakkan sebarang syarat semasa proses rundingan,” katanya dan menambah faktor cuaca turut menyumbang kepada kelancaran rundingan.

 

Bagi memastikan kapal sentiasa berada di dalam kawalan pihak keselamatan, Ahmad Puzi berkata, sebuah kapal milik Maritim Malaysia, KM Amanah dan kapal KD Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah digerakkan dan berada pada jarak 10 kilometer dari kapal tersebut bagi membayangi sebarang pergerakan.

 

Sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.