Jumlah Hutang Jaminan Kerajaan RM172 bilion – PM

Kuala Lumpur – Jumlah jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan sehingga akhir 2014 adalah sebanyak RM172 bilion iaitu 14.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jaminan tersebut diberikan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

 

“Jaminan tersebut diberikan terutamanya kepada entiti awam yang melaksanakan projek infrastruktur seperti DanaInfra dan Prasarana yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur dan operasi pengangkutan awam.

 

“Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa memberi jaminan kepada badan berkanun dan syarikat kerajaan untuk meminjam bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR-Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman jumlah hutang terkini negara termasuk sebarang bentuk ‘Letters of Guarantee’, ‘Letters of Support’ (LOS) dan ‘Letters of Comfort’ dan nisbahnya kepada GDP.

 

Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, kedudukan terkini jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2015 adalah sebanyak RM596.8 bilion atau 51 peratus daripada KDNK.

 

“Mengikut rekod, satu LOS telah diberikan oleh kerajaan sehingga akhir 2014 dengan jumlah RM9.5 bilion.

 

“Sehingga ini, prestasi bayaran balik pinjaman adalah baik dan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang tunggakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.