Hudud Tiada Dalam Agenda Parti Politik Baru PasMa

Alor Setar – Hudud tiada dalam agenda parti politik baru yang akan ditubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

 

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, keputusan tersebut diambil bagi memastikan perjuangan parti baru itu selari dengan ketetapan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang tidak pernah bersetuju bersabit pelaksanaan hukum itu.

 

“Dengan suasana yang ada sekarang ini kita mengambil satu pendekatan yang keupayaan masyarakat dan negara kita, jadi persetujuan tentang dasar pada pakatan rakyat sudah pun ada dahulu, kalau saya tidak silap ada dalam buku Jingga, ini sudah ada perbincangan untuk menghadapi pilihan raya dan itu kita perlu terima pakai untuk kita teruskan perjuangan ini.

 

“Jadi dengan persetujuan yang ada itu, hudud tidak akan menjadi satu agenda dalam perjuangan,” katanya kepada Antarapos dalam satu temubual eksklusif yang diadakan di sini.

 

Phahrolrazi yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kuala Kedah berkata, ketika beliau memimpin PAS negeri itu, sokongan terhadap pelaksanaan hudud adalah bersifat bersederhana dan enggan ianya diimplimentasikan tatkala itu.

 

“Bahkan pada ketika kita membuat manifesto untuk Kedah sendiri di antaranya saya yang terlibat untuk merumuskan manifesto itu, kita sendiri untuk negeri Kedah, kita tidak meletakkan hudud sebagai agenda jika kita hendak mengambil Kedah sebab itu kita ambil ‘Kedah Sejahtera’, kita tidak mengambil pendekatan seperti Kelantan yang mengambil ‘Membangun bersama Islam’.

 

“Jadi dalam konteks Malaysia ini sebenarnya kita terpaksa menerima realiti belum masa untuk kita membawa sesuatu perkara (hudud), apakah menjadi satu kesalahan? Dulu PAS menerima untuk tidak membawa hudud di negeri Kedah ini,” katanya.

 

Berikutan sikap PAS yang terlalu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan walaupun dibantah dua rakan komponennya DAP dan PKR, parti itu kini berdepan dengan tindakan ‘ditendang’ daripada Pakatan Rakyat.

 

DAP dan PKR kini menganggap Pakatan Rakyat sudah tiada selepas PAS meluluskan usul putus hubungan dengan DAP pada muktamar tahunannya, awal Jun lalu.

 

PAS bagaimanapun berkali-kali bertegas, usul itu belum dimuktamadkan dan perlu dibincang Majlis Syura Ulama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.