Bapa Bersyukur, Harap Anak Dapat Pulang Dengan Selamat

SETIU – Bapa kepada seorang daripada anak kapal MT Orkim Harmony berharap anaknya Nor Zaini Ahmad Bustaman dapat pulang dengan selamat dan menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.

 

“Saya bersyukur kalau semuanya sudah disahkan dalam keadaan selamat. Sebagai seorang ayah, tidak ada apa yang lebih menggembirakan saya jika anak saya dapat pulang dengan selamat.

 

“Sejak anak saya bekerja dalam bidang perkapalan kira-kira tiga tahun lepas dia memang tidak berpeluang berpuasa dan menyambut hari raya bersama kami,” kata Ahmad Bustaman Deraman, 57, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Merbau Menyusut di sini hari ini.

 

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid mengesahkan kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lalu, disahkan ditemukan di perairan Kemboja semalam dengan kesemua 22 anak kapalnya selamat.

 

Katanya, pihak berkuasa sedang berunding dengan perampas kapal tangki itu.

 

Ahmad Bustaman berkata , mereka sekeluarga sentiasa berdoa dan turut melakukan solat hajat bersama-sama penduduk kampung bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anaknya serta semua anak kapal yang lain.

 

Menurutnya kali terakhir berjumpa anaknya adalah pada sebulan lepas sebelum anak keempat daripada lapan beradik ini kembali bertugas.

 

Beliau berkata, mereka sekeluarga sentiasa mengikuti perkembangan berita berkenaan kapal tangki itu menerusi televisyen.

 

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 8.57 malam 11 Jun ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan.

 

Kapal yang dimiliki syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia serta rakyat Indonesia dan Myanmar.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.