Adakan Segera Mesyuarat Majlis Syura Ulama – Mahfodz

Kuala Lumpur – Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS digesa untuk mengadakan mesyuarat segera bagi membincangkan usul mahu memutuskan hubungan dengan DAP seperti yang diluluskan di Muktamar parti itu minggu lalu.

 

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, ini kerana perkembangan yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat (PR) kini lebih menuntut kesegeraan, dan tidak boleh menunggu sehingga tarikh mesyuarat yang ditetapkan iaitu dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.

 

“Memang saya ingat ada kesegeraannya, pasal di luar sana dah bising kata dah putus (hubungan PAS-DAP). Sedangkan pimpinan kata belum putus, kerana menunggu keputusan Majlis Syura.

 

“Jadi saya menggesa Majlis Syura buat mesyuarat segera bagi menentukan cadangan Dewan Ulama itu, sama ada kita hendak putus atau bagaimana”,” katanya yang dipetik portal The Malaysian Insider.

 

Hubungan DAP-PAS mula meruncing apabila Muktamar PAS Pusat pada minggu lalu meluluskan tanpa bahas usul yang dibawa Dewan Ulama yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP, ekoran kelantangan parti demokratik itu mengkritik PAS dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Susulan daripada keputusan muktamar itu, DAP menggesa kepimpinan baru PAS untuk mengarahkan peletakan jawatan wakil rakyat mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, sebagai ‘menepati’ usul berkenaan.

 

PAS bagaimanapun tidak mengeluarkan arahan demikian kerana usul tersebut masih belum dimuktamadkan di peringkat syura, namun beberapa pemimpinnya yang menjawat jawatan di Pulau Pinang mengumumkan peletakan jawatan mereka.

 

Antaranya bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; bekas AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, dua ahli majlis kerajaan tempatan iaitu Dahalan Fazil dan Mhd Nasir Yahya.

 

DAP juga menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada malam Isnin lalu menyifatkan tindakan PAS yang meluluskan usul berkenaan telah ‘membunuh’ PR, dan akibatnya gagasan pembangkang itu tidak lagi wujud.

 

PKR pula yang bermesyuarat malam Selasa lalu menyatakan kekesalan mereka atas tindakan kedua-dua parti berkenaan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.