Guru Pondok Antara 1,000 Terima Tajaan Haji

Putrajaya – Seramai 1,000 jemaah termasuk dua Tok Batin dan lapan guru pondok hari ini menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 2014/1435H di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2014/1435H.

Majlis penyerahan surat tawaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Selain tajaan haji, mereka turut menerima wang saku RM1,000 setiap seorang, kain pasang, kain pelekat dan kurma.

Dalam ucapannya, Najib berkata program tersebut adalah bagi menghargai jasa imam dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) di seluruh negara yang dianggap tidak ternilai.

“Tuan-tuan banyak jasa dan khidmatnya. Bukan senang jadi imam. Peranan imam dan ketua kampung besar dalam masyarakat kita. Kedua-dua institusi ini saya anggap amat penting sebagai teras kesejahteraan sosial dalam negara,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib berkata program itu juga akan diteruskan pada masa akan datang, dengan kemungkinan memberi peluang kepada bilal dan tok siak di seluruh negara.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kita akan teruskan pada masa akan datang. Mungkin kita akan cari bilal dan tok siak pula supaya yang lain dapat merasai nikmat menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Najib berkata kemakmuran negara hasil pengurusan yang baik oleh kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk program-program seperti ini.

“Saya amat berharap tuan-tuan menunaikan ibadat haji dengan penuh ketertiban dan disiplin. Jagalah nama baik negara jangan lupa doakan untuk negara aman, makmur dan kesejahteraan kita bersama,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional serta pengagihan kurma dan air zam zam di masjid seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.