KOTA KINABALU– Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada kewujudan sebarang kumpulan dalam kalangan pimpinan Umno Sabah ketika parti itu bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau menolak dakwaan wujudnya kem blok dalam Umno Sabah yang membabitkan nama-nama seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Tiada kumpulan Bung Moktar, tiada kumpulan Abdul Rahman, tiada kumpulan Salleh Said, dan tiada kumpulan Yakubah Khan. Yang ada hanya satu – kumpulan BN Sabah,” katanya ketika berucap di satu majlis di ibu negeri malam tadi, memetik laporan media.
Presiden Umno itu turut mengingatkan bahawa perpecahan dalaman yang berpunca daripada perbezaan pandangan dan ego antara pemimpin hanya akan merugikan rakyat.
“Kita sudah dua kali kecundang kerana melayani perbezaan. Bila gajah sama gajah bertarung, yang mati kancil di tengah,” katanya.
Ucapannya dilihat merujuk ketegangan terdahulu antara Bung dan Abdul Rahman, termasuk isu jemputan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ke mesyuarat Umno Tuaran tahun lalu yang mencetuskan pertikaian dalaman.
Walaupun Bung mengkritik tindakan itu sebagai tidak wajar, Rahman mempertahankan keputusan tersebut sebagai selari dengan semangat kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
Isu pembahagian kerusi PRN turut menjadi titik perbezaan, apabila Bung menyuarakan hasrat mencalonkan Rahman di kerusi DUN Sulaman yang disandang Hajiji, namun Rahman kemudian menegaskan sebarang keputusan harus melalui perbincangan kolektif.
“Autonomi bukan bermakna satu orang saja boleh buat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok buat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi,” katanya sebelum ini.