Sungai adalah tanggungjawab bersama – KSU NRES

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

BANGI – Kira-kira 80 peratus (%) pencemaran Sungai Alur Ilmu dekat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpunca daripada pembuangan sisa domestik seperti botol, beg plastik dan kain rentang.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), Dato’ Dr. Ching Thoo Kim berkata Sungai Alur Ilmu merupakan sungai kecil yang mengalir ke Sungai Langat yang membekalkan sebanyak 20% bekalan air untuk Lembah Klang.

Menurutnya, Sungai Alur Ilmu masih bersih dan selamat disentuh, dikategorikan sebagai Sungai Kelas 2 manakala Sungai Langat kini berada pada Kelas 3 dan mungkin bahaya untuk disentuh.

“Kita tidak mahu Sungai Langat menjadi seperti sungai di Pulau Pinang dan Johor yang airnya sudah tidak boleh dirawat dan penting untuk kita menjaga sungai ini agar tidak menyumbang kepada pencemaran Sungai Langat, ”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) And Don’t Be A Litterbug di Langat River Education Centre, Alur Ilmu, UKM dekat sini pada Sabtu.

Program ini dianjurkan bersama NRES dan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) yang disertai 50 peserta termasuk pegawai kerajaan, pelajar dan wakil industri dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran sisa melalui pendidikan dan penglibatan komuniti.

Kerjasama erat antara MPMA dan NRES dalam memperkukuh dasar kelestarian serta menyokong rundingan Perjanjian Plastik Global demi mencapai matlamat Malaysia yang bersih dan mampan.

Dr. Ching Too berkata, aktiviti seperti itu akan diteruskan secara berkala, sama ada dua minggu sekali atau setiap sebulan sekali dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan lain bagi mendidik masyarakat tentang tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar.

“Pada hari ini, kami sempat kutip beg plastik yang sudah terurai dan menjadi mikroplastik.

“Bayangkan sekiranya plastik itu pergi ke sungai utama, ikan makan dan akhirnya kita pula makan ikan itu, maka tubuh kita turut dipenuhi mikroplastik.

“Kita ingin memberi kesedaran kepada rakyat bahawa sungai adalah tanggungjawab bersama dan bukan terletak pada agensi kerajaan sahaja.

“Kalau bekalan air tiada satu jam, orang sudah bising dan sebelum perkara itu berlaku, kita perlu mengambil langkah pencegahan yang paling mudah iaitu jangan buang sampah ke dalam sungai,”ujarnya.

“Program seperti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa air adalah nadi kehidupan dan berharap momentum itu dapat diteruskan dan lebih ramai yang tampil memberikan sokongan terhadap usaha yang dijalankan, ”tambahnya.

Sempena program ini pelbagai aktiviti dijalankan seperti pembersihan tebing sungai, pengasingan sisa serta demonstrasi proses kitar semula plastik melalui ‘The Green Truck’ sebagai simbolik kepada amalan kitaran yang lestari.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat