Tiga Adik Beradik Bermata Biru, Coklat dan Kelabu Terus Curi Tumpuan

PUTATAN – Anak mata berwarna biru, coklat dan kelabu. Itu keistimewaan tiga beradik dari sini yang sering menarik perhatian ramai setiap kali keluar rumah.

Selain pernah diberi gelaran tertentu oleh rakan, Rusyduddin Ronaldo Lee, 18; Refnaldi Ronaldino Lee,16, dan Syahirah Batrisyia Lee, 3, sering disalah anggap kerana disangka memakai kanta lekap.

Rusyduddin Ronaldo, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia pernah diberi gelaran ‘mata hantu’ oleh rakan ketika berada di Tahun Satu.

“Ketika mula bersekolah rendah, saya berasa amat rendah diri kerana kelebihan ini sering diperkatakan sehingga ada ketikanya saya bersembunyi bawah meja. Masalah sama dihadapi ketika memasuki sekolah menengah apabila cikgu memanggil saya disebabkan mereka menyangka saya memakai kanta lekap.

“Selepas mendengar penjelasan daripada bapa, barulah pihak sekolah memahami situasi sebenar,” katanya yang memiliki sepasang mata berwarna biru ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, adiknya, Refnaldi Ronaldino tidak terlalu tertekan dengan situasi dilalui abangnya kerana orang sekeliling sudah biasa melihat abangnya sebelum ini.

“Saya bersekolah rendah dan menengah di sekolah sama dengan abang. Oleh itu, warga sekolah sudah biasa melihat keunikan abang dan akhirnya tidak hairan apabila saya memasuki sekolah sama.

“Berbeza dengan abang, saya mempunyai mata berlainan warna iaitu biru di sebelah kiri dan coklat pada bahagian kanan,” katanya.

Ibu mereka, Amy Sofea Wasli, 40, berkata selain anak kedua dan ketiganya, anak bongsu dalam keluarga, Syahirah Batrisyia Lee turut mempunyai kelebihan sama.

Amy Sofea berkata, dia dan suami, Rosli Abdullah, 63, bersyukur dengan kurniaan anak yang memiliki kelebihan dalam keluarganya dan tidak menolak kemungkinan keistimewaan itu diperoleh daripada sebelah keluarganya yang mempunyai susur galur campuran.

Ahad lalu, BH Online melaporkan, seorang budak lelaki, Kamarul Hisham Mustafa, 9, dari Kampung Bingkul di Beaufort, mencuri tumpuan ramai pada program dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memiliki sepasang mata berwarna biru. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.