Pasangan Gay Disebat 85 Kali

Mahkamah Syariah Aceh menjatuhkan hukuman sebat 85 kali di khalayak ramai pada setiap seorang terhadap pasangan gay yang ditahan ketika sedang melakukan hubungan seks, Mac lalu.

Hukuman itu akan dilaksanakan pada 25 Mei ini terhadap kedua-dua lelaki yang berusia 20 dan 23 tahun itu.

Seorang daripadanya menangis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman dan memohon hukuman diringankan, lapor Metro.

Pasangan itu dicekup penduduk di Banda Aceh yang memecah masuk bilik sewa mereka ketika pasangan itu sedang melakukan hubungan seks.

Rakaman kejadian itu tersebar di media sosial menunjukkan kedua-dua lelaki berkenaan dalam keadaan bogel, diasak penduduk yang menahan mereka.

Ketua panel tiga hakim, Khairil Jamal, berkata dua lelaki terbukti bersalah melakukan hubungan seks sejenis dan hakim bersetuju tidak mengenakan hukuman maksimum sebat 100 kali kerana tertuduh berkelakuan baik di mahkamah, bekerjasama dengan pihak berkuasa serta tiada rekod kesalahan sebelum ini.

“Sebagai umat Islam, tertuduh perlu mematuhi undang-undang Syariah di Aceh,” kata Khairil.

Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang menggunakan undang-undang Syariah, mula melaksanakan hukuman sebat sehingga 100 kali bagi beberapa kesalahan, termasuk berzina, minum arak, berjudi, wanita berpakaian mencolok mata dan tidak solat Jumaat, dua tahun lalu.

Tahun lalu, lebih 300 orang sudah menjalani hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan berkenaan namun hukuman terhadap pasangan gay ini adalah yang pertama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.