Indonesia Jamin Tiada Kes Jerebu Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Indonesia memberi jaminan masalah jerebu rentas sempadan tidak akan berlaku tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau optimis dengan jaminan terbabit berdasarkan pengalaman menghadapi jerebu yang dibuat Indonesia pada 2016.

“Pada 2016, kejadian jerebu berlaku pada tahap yang amat minimum (jika dibandingkan dengan kejadian pada tahun sebelumnya) hasil daripada usaha yang digerakkan secara bersama antara Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand.

“Justeru itu, berlandaskan pengalaman mereka pada tahun itu, Indonesia beri jaminan kepada kita bahawa tiada jerebu untuk tahun ini.

“Saya terima jaminan tersebut selepas banyak pendekatan dan usahasama dibuat bagi menangani kejadian jerebu rentas sempadan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu Sub-rantau Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada Khamis.

Jelasnya lagi, Pusat Meterologi ASEAN (ASMC) meramalkan cuaca kering bermula Jun – Oktober 2017 ini akan terus dipantau bagi mengelak sebarang kebakaran daripada berlaku terutamanya di kawasan titik panas.

“Malaysia umpamanya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Indonesia memerlukan bantuan kecemasan bagi mengelak jerebu berulang,” jelasnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.