Hanya 85,000 Pekerja Asing Berdaftar Melalui Program E-Kad

Dianggarkan 85,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan melalui program E-Kad Sementara Pekerja Asing setakat ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata sejak pelaksanaan E-Kad pada 15 Februari lepas, pihaknya menyasarkan pendaftaran 400,000 hingga 600,000 PATI namun bilangan yang direkodkan masih mengecewakan kerana masih terdapat majikan yang berdegil mendaftarkan pekerja asing mereka.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen memberi peluang kepada majikan untuk mendaftarkan PATI dalam program E-Kad sehingga 30 Jun ini dan tempoh itu tidak akan dilanjutkan.

“Saya berharap majikan ambil peluang dan tindakan tepat untuk mendaftarkan pekerja asing mereka dengan Jabatan Imigresen dan daftar sebagai pekerja sah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Op Ikrar Bersepadu di ibu negara semalam.

Program E-Kad Sementara Pekerja Asing itu merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memberi peluang kepada PATI tanpa dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di Malaysia diberikan kad kebenaran bekerja sementara bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Dalam Op Ikrar Bersepadu itu, Jabatan Imigresen menggempur dua pusat menjual gajet elektronik di Jalan Imbi di ibunegara dan menahan 125 PATI yang bekerja di premis berkenaan.
Mustafar berkata mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, pasport tamat tempoh dan menyalahgunakan pas.

Operasi bermula 3 petang dan tamat pada 5.30 petang itu melibatkan 142 pegawai dan anggota Imigresen serta 30 anggota Pasukan Gerakan Am.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.