Tun M Yakin, Ada Pihak Sembunyi Fakta MH370

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat yakin bahawa ada pihak sedang menyembunyikan fakta penting berkenaan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau dalam tulisan di blog Chedet hari ini, Dr Mahathir turut menyuarakan rasa tidak puas hati kerana penyembunyian fakta itu, Malaysia dan MAS yang terpaksa berhadapan dengan segala kritikan dan dipersalahkan.

“Ada pihak yang sedang menyembunyikan sesuatu, tidak adil kerana MAS dan Malaysia yang kini menerima segala tuduhan,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut beranggapan ia hanya membuang masa dan wang untuk pasukan mencari terus mencari serpihan pesawat atau mendengar isyarat ‘ping’ kerana ia bukan kejadian biasa.

“Pesawat itu ada di satu lokasi, kemungkinan besar tanda-tanda ia milik MAS seperti logo MAS sudah pun tiada,” katanya dalam blog berkenaan.

Beliau turut memetik satu artikel menarik di laman web Flightglobal.com berkenaan satu paten sistem anti-keganasan yang membolehkan pesawat didaratkan secara automatik jika sesebuah pesawat penumpang dirampas.

Artikel itu ditulis oleh John Croft dan ia pernah dilaporkan oleh Mynewshub.my pada 31 Mac 2014 bertajuk “Paten AS 2006 Mendedahkan Pesawat Boeing Boleh Diterbangkan Dari Darat“.

Boeing menurut artikel itu menerima paten untuk satu sistem yang jika diaktifkan akan membolehkan pihak di darat mengambilalih semua kawalan pesawat sedang terbang dan secara automatiknya akan mendaratkan pesawat ke landasan yang tertentu.

Sistem itu boleh diaktifkan oleh juruterbang, sistem pengesan atau pun dari alat kawalan jauh menggunakan radio atau satelit oleh agensi risikan kerajaan antarana Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) jika dikesan ada cubaan pengganas mengawal pesawat itu.

Menurut Dr Mahathir, Boeing mesti menjelaskan berkenaan sistem ini.

“Saya tidak boleh membayangkan seorang juruterbang melakukan pendaratan di dalam air secara sempurna kemudian secara senyap tenggelam bersama-sama pesawat itu.

“Atas sebab tertentu, media tidak akan mengeluarkan laporan yang menyebut tentang Boeing dan CIA, saya harap pembaca blog ini akan menyedarinya,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.