Saya Bukan MB Terengganu Sementara Waktu – Razif

Kuala Terengganu – Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menolak dakwaan beliau menjawat jawatan tersebut dalam tempoh sementara dan menafikan wujudnya sebarang perjanjian yang memerlukan beliau berundur apabila tiba masanya.

Sambil menegaskan perkara tersebut tidak timbul kerana tidak ada perjanjian seumpama itu seperti yang didakwa, Ahmad Razif berkata beliau juga tidak tahu menahu mengenai sebarang perjanjian berkaitan perkara itu.

“Saya bukan menteri besar sementara… Selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus memberi yang terbaik sedaya upaya untuk rakyat, parti dan kerajaan negeri.

“Apa yang bakal berlaku pada masa depan kita tidak tahu, tetapi selepas saya diberi amanah dan kepercayaan yang tidak pernah saya duga ini, saya akan pikul dengan penuh rasa tanggungjawab. Itu janji saya,” kata dalam wawancaranya dalam Berita Harian edisi mingguan hari ini.

Beliau menjawab soalan dalam akhbar bahasa Melayu itu berhubung dakwaan kononnya beliau hanya menjadi menteri besar sementara dan mungkin berdepan nasib yang sama seperti bekas menteri sebelum ini.

Menjawab soalan sama ada beliau bersedia untuk berundur daripada jawatan itu pada masanya, Ahmad Razif berkata beliau akan memberi khidmat terbaik selagi diperlukan sebagai menteri besar.

Menurutnya lagi, sama ada panjang atau pendek tempoh perkhidmatannya sebagai menteri besar merupakan kententuan Allah bukan ditentukan oleh manusia.

 

Laksana tugas sebaiknya

“Kita orang politik ini tidak ada masalah sebab apabila diberi tugas dan tanggungjawab, kita akan laksana dengan sebaiknya.

“Sekiranya tiba masa kita perlu diganti, Insya-Allah, kita tidak ada masalah,” katanya sambil menambah beliau akan meneruskan usaha membentuk pemimpin pelapis memandangkan platformnya telahpun disediakan pemimpin sebelum ini.

Menurut Ahmad Razif lagi, beliau tidak menyangka akan dilantik menjadi menteri besar Terengganu ke-14 walaupun digembar-gemburkan sebelum itu, sehinggalah menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tengah hari 12 Mei lalu.

Sambil menyifatkan pelantikannya itu sebagai “mengejutkan”, Ahmad Razif berkata beliau tidak mengambil pusing dengan desas desus mengenainya sebelum itu kerana beliau sendiri tidak tahu menahu mengenainya.

“Sebab pengalaman kita sebelum ini, apa yang berlaku, pasti kita akan dipanggil dulu (berjumpa Perdana Menteri) tetapi yang ini tidak dipanggil dan terus dibuat pelantikan serta upacara angkat sumpah,” katanya.

Mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa beliau ‘melobi’ bagi jawatan itu, Ahmad Razif berkata Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengenalinya dan beliau juga tidak pernah ke pejabat Najib untuk berjumpa sehinggalah penubuhan Pusat Rehabilitasi di Seberang Takir yang dirasmikan oleh presiden Umno itu pada pilihan raya umum lalu.

“Saya tidak pernah berjumpa atau ke pejabat beliau sehinggalah saya menerima surat pelantikan sebagai menteri besar pada 12 Mei lalu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.