Mayat Lelaki Ditemui Di Pantai Bersih

BUTTERWORTH: Mayat seorang lelaki, dipercayai dibunuh ditemui di belakang restoran makanan laut di persisiran Pantai Bersih, di sini, Ahad.

Mayat B.Muniandy, 37, ditemui dalam keadaan terbaring di tepi pantai oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata pemeriksaan awal polis menemui beberapa kesan luka di dahi dan jari, lebam di dada serta rusuk kanan mangsa.

“Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa mati sejak enam jam lepas,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang belum berkahwin itu tinggal bersama keluarganya di Flat Pantai Bersih iaitu 500 meter dari tempat kejadian.

Mazlan berkata lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

“Polis juga menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.