Malaysiakini Wajar Dikenakan Tindakan Tegas

Kuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengenakan tindakan tegas terhadap Malaysiakini dan sekiranya perlu Penerbit serta Ketua Pengarang portal berita itu wajar dibawa ke mahkamah atas dakwaan menghasut pihak lain.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, dengan tindakan seumpama itu secara langsung diharap dapat menghentikan pihak-pihak lain yang berhajat melakukan perkara yang sama.

“Perbuatan Malaysiakini menyiarkan komen-komen negatif daripada pembaca terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah cubaan untuk menghina pemimpin nombor satu secara halus dan jika tidak dihalang akan membawa kerosakan kepada nama baik negara.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, mereka akan membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 tanpa memerlukan hasutan sebagaimana yang dibuat oleh Malaysiakini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, portal berita propembangkang, Malaysiakini diberi notis tuntutan saman atas penerbitan artikel yang berunsur fitnah bertajuk A case of the PM rea­ping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu?.

Notis tersebut dihantar menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kapasiti peribadi beliau.

Sheikh Ahmad Dusuki mendakwa Malaysiakini menjadi alat pihak-pihak tertentu dengan menyiarkan berita-berita dan rencana yang berat sebelah, memaparkan seolah-olah Malaysia ditad­bir secara kuku besi dan tiada kebebasan serta tidak demokratik.

Katanya, portal Malaysiakini bo­leh diakses di seluruh dunia dan sehubungan itu, adalah tidak patrio­tik untuk portal tersebut menyiarkan artikel berunsur fitnah terutama kepada Perdana Menteri yang telah bekerja keras memastikan keadilan diberi kepada semua kaum.

“Malaysiakini adalah duri dalam daging kepada keharmonian dan keamanan negara. Saya menyeru semua pihak agar mengamalkan politik kesederhanaan dan memberi peluang kepada Perdana Menteri melaksanakan agenda transformasi negara. Berikan peluang kepada Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, notis tuntutan memohon maaf oleh pihak mahkamah tidak mencukupi ekoran portal itu telah mencalarkan imej dan maruah negara, selain menimbulkan kekacauan dalam kalangan rakyat.

“Mereka bukan sahaja harus meminta maaf kepada Najib, malah seluruh negara terutamanya rakyat negeri Terengganu. Salah satu artikel yang ditujukan terhadap isu peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu. Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan seolah-olah rakyat serta maruah negeri tersebut boleh dibeli dengan wang,” katanya.

Sementara itu, menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, tuduhan tidak berasas yang dilakukan oleh Malaysiakini seumpama tindakan membunuh diri apabila menyasarkan pemimpin nombor satu negara sebagai objektif utama.

“Mereka umpama tidak boleh berfikir dua kali. Individu yang cuba dijatuhkan adalah seorang ketua negara dan yang diyakini berkaliber tinggi dan dihormati ramai.

“Saya tidak pasti jika mereka ada tujuan lain. Namun, tindakan mereka memakan diri,” katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140518/dn_11/Tegas-terhadap-Malaysiakini#ixzz322fMDzwz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.