Kes Denggi di Pulau Pinang Meningkat

Balik Pulau -Sejumlah 13,733 kes denggi dilaporkan di Pulau Pinang dari Januari hingga semalam, iaitu peningkatan 178 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, setakat ini tiga kes kematian dicatat iaitu satu di daerah Timur Laut dan dua di Seberang Prai Tengah.

“Masyarakat jangan terlalu bergantung kepada fogging kerana ia bersifat sementara dan hanya membunuh nyamuk dewasa. Orang ramai kena ambil inisiatif sendiri memusnahkan tempat pembiakan nyamuk,” katanya kepada wartawan ketika meninjau program gempur Aedes peringkat Parlimen Balik Pulau pada Sabtu.

Program gotong-royong itu melibatkan penyertaan lebih 600 orang termasuk penduduk kampung dan 330 pelatih Program Latihan Khidmat Negara dari Kem White Resort Balik Pulau.

Dr Hilmi menyarankan rakyat meluangkan 10 minit setiap hari untuk memeriksa air bertakung terutama di kawasan tersembunyi kerana jentik-jentik mampu membiak dalam air serendah paras lima milimeter serta boleh bertahan sehingga enam bulan, jika tidak dimusnahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.