Ibu kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Yammy Samat berkata, beliau berfikiran terbuka dan memberi kebebasan kepada anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud untuk menyertai mana-mana parti.

Beliau berpendapat, semua parti yang berdaftar adalah parti halal dan DAP bukannya parti komunis.

“Zaman saya dah berlalu, dan sepatutnya anak muda diketengahkan. Kita yang berumur jangan terlalu memegang jawatan, bagi kepada anak muda.

“Sebagai mak, kalau you in my shoes, takkan saya nak buang anak saya kerana parti,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Sabtu.

Namun begitu, Yammy berpendapat, DAP mengambil risiko dengan menurunkan calon Melayu pada PRK Parlimen Teluk Intan.

Katanya, tindakan DAP itu dilihat sebagai cuba memancing hati pengundi Melayu, selepas pendirian tegas parti itu menolak pelaksanaan hudud oleh PAS.

“Tidak juga, sebab secara tidak langsung, DAP mengambil risiko dengan sengaja mengacah anak Melayu di situ. Ada kemungkinan DAP akan kehilangan tempat dia.

“Bagi saya, bila dia (DAP) bagi kerusi kepada anak saya (dan) kalau anak saya menang, (maknanya) satu kerusi Cina dah diberi kepada Melayu,” katanya.

Yammy yang menyertai UMNO sejak berusia 18 tahun sehingga kini, pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh pada 1976 hingga 1980.

Sementara itu, Yammy menolak dakwaan kononnya dia kecewa dengan UMNO dan memberi restu kepada anaknya untuk bertanding atas tiket DAP.

Sebaliknya, dia menegaskan, sokongannya kepada Dyana Sofya adalah daripada seorang ibu kepada anak.

“Bagi saya, bukan kerana saya khianat parti saya, tetapi kerana sebagai ibu, bukan terpaksa tetapi wajib saya sokong anak saya.

“Sesiapa pun akan mengharapkan anak dia menang, tak kisah la mana-mana parti pun,” ujarnya.

Sementara itu, Dyana Sofya menyifatkan penglibatan aktif ibunya dalam arena politik dan aktiviti kemasyarakatan adalah pembakar semangatnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Restu ayah dan ibu untuk pencalonan saya membantu saya memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini,” ujarnya.