KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan surat tuntutan undang-undang terhadap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berkait dakwaan bekas Perdana Menteri itu menghalang pemindahan sebidang tanah yang dipegang atas nama amanah parti itu.
Peguam mewakili Dr Mahathir Rafique Rashid memaklumkan surat tuntutan itu menuntut Puad membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mahathir di hadapan media arus perdana dan media sosial.
“Puad Zarkashi hendaklah mengadakan satu sidang media terbuka di bangunan Umno dengan jemputan media arus perdana serta media sosial dan membuat pengakuan bahawa penulisan dan/atau penerbitan fitnah tersebut adalah kesilapannya.
“Dalam sidang media itu juga Puad Zarkashi hendaklah menyatakan bahawa penulisan fitnah tersebut jelas menuduh Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang pecah amanah dan perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.
Surat tuntutan itu turut menuntut agar Puad mengemukakan permohonan maaf secara bertulis dan tanpa syarat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis tersebut dikeluarkan hari ini.
Puad juga diminta memberi jaminan dia atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihaknya tidak akan mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan reputasi atau integriti Mahathir, tertakluk kepada persetujuan Mahathir sendiri.
“Dr Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan sesuai manfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” tambah Rafique.
Ancaman tindakan undang-undang oleh bekas presiden Umno itu maklum balas terhadap hantaran Facebook Puad bertarikh 12 April bertajuk “Tun M mesti pulangkan harta Umno.”
Ini susulan laporan media pada 10 April bahawa Umno memfailkan saman untuk memaksa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan melaksanakan pemindahan hak milik sebidang tanah kepada parti itu.
Tanah berkenaan terletak di Lot 40, Seksyen 51, Kuala Lumpur yang kini menempatkan Hotel Seri Pacific. Ia terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan Menara Dato’ Onn yang menjadi ibu pejabat Umno.
Sehari kemudian, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa salah seorang pemegang amanah enggan memulangkan tanah itu kepada parti, walaupun pemegang amanah lain telah bersetuju namun dia tidak menamakan individu tersebut.
Puad bagaimanapun secara terbuka menyasarkan dakwaan terhadap Mahathir.
“Dia pemegang amanah. Itu pecah amanah namanya kalau tidak mahu tandatangan dokumen pulangkan harta.
“Sepatutnya 2008 lagi dia pulangkan harta tersebut,” dakwanya pada hantaran di media sosial yang telah ditarik balik.
Puad turut menyelar Mahathir kerana sering menuduh pihak lain, sedangkan isu pemilikan harta parti tidak wajar dipolitikkan.
“Apakah dia tidak rasa malu? Tuduh orang lain berbagai. Itu bukan harta persendirian,” tegasnya.
Mahathir menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh Zahid dan Puad sebagai satu fitnah.
Dia berkata dirinya bersama tiga lagi pemegang amanah telah menandatangani satu akuan berkanun pada 2015 bagi memudahkan permohonan pemindahan tanah itu kepada Umno namun permohonan tersebut ditolak atas sebab teknikal.
Bagaimanapun Puad kemudian mengakui dia tersilap selepas ditegur Mahathir dan menyalahkan laporan media yang didakwanya “tidak jelas” berhubung saman tersebut.