RISDA kemuka Harga Getah Bermaruah ke Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sudah menyiapkan kertas cadangan pelaksanaan Harga Getah Bermaruah yang bertujuan menstabilkan harga komoditi itu di negara ini.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata kertas cadangan berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diharap dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata apabila cadangan itu diluluskan, harga getah akan ditetapkan pada kadar RM5 sekilogram bagi getah beku atau sekerap dan RM15 sekilogram bagi getah cair atau lateks.

“Harga Getah Bermaruah ini melibatkan tiga ekosistem iaitu RISDA sebagai pembeli tunggal getah, kempen Buy Malaysian Latex First dan mengenakan bayaran kepada getah yang diimport.

“Sekiranya ekosistem ini dapat dibentuk, harga getah akan dapat dinaikkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.

Manndzri berkata RISDA sedang melaksanakan penanaman semula getah di kawasan terbiar dengan sasaran 10,000 hektar setahun bermula tahun lepas melalui Program Pemulihan Getah Terbiar.

“Tahun lepas kita cuma menanam 4,600 hektar dan dalam tempoh empat bulan tahun ini kita telah menanam 7,000 hektar, dengan perkembangan itu saya berharap kita mampu mencapai sasaran 10,000 hektar pada tahun ini,” lapor Bernama.

Sementara itu, Manndzri berkata pihaknya sedang menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memulakan Program Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB) yang melibatkan kawasan seluas 5,000 hektar dalam usaha meningkatkan aset RISDA dan pengeluaran getah di negara ini.

Program berkenaan, katanya telah dimulakan di Melaka sejak awal tahun ini dan akan diteruskan di Johor manakala bagi negeri lain, RISDA masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri kerana penanaman itu hanya boleh dilakukan di atas tanah yang diwartakan untuk komoditi.

Beliau berkata banyak syarikat swasta telah berhenti menanam getah, justeru telah tiba masanya untuk RISDA menanam sendiri getah selain meneruskan peranannya membantu dan memperkasakan pekebun kecil yang berjumlah 510,000 orang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat