Mantera, filem arahan Chester Pang yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 24 April 2025, tampil sebagai sebuah karya tempatan yang berani menyelami dunia mistik dan spiritual dengan pendekatan yang berbeza daripada kebanyakan filem seram tempatan. Diterbitkan oleh Pro Merge Vision Sdn. Bhd., naskhah ini membawa penonton menyusuri sisi gelap kepercayaan lama menerusi sebuah kisah yang dibalut dengan ritual kuno dan ancaman roh jahat — menjadikan pengalaman menontonnya benar-benar mencengkam.
Menariknya, filem ini terlebih dahulu diperkenalkan kepada umum menerusi malam tayangan gala pada 17 April 2025 bertempat di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, sebuah acara eksklusif yang telah menghimpunkan para pelakon, kru produksi dan tetamu kehormat bagi meraikan pelancaran naskhah yang dinanti-nantikan ini.
Kisah Mantera mengangkat watak Tana, seorang wanita muda lakonan Jovenia Jim, yang mewarisi kebolehan spiritual daripada keturunan lamanya. Kehidupan Tana mula diganggu apabila roh jahat bernama Rogon Lupiah mula menyerang orang-orang terdekat dengannya. Dalam usahanya menyelamatkan diri dan orang sekeliling, Tana terpaksa menyelami sejarah keluarganya yang berkait rapat dengan nenek moyangnya, Ondiya — seorang Bobolian (bomoh) yang pernah menjadi penghubung antara alam manusia dan roh.
Dalam pencarian jawapan, Tana dibantu oleh Inspektor Zafri, dilakonkan dengan penuh intensiti oleh Syafie Naswip. Zafri sendiri menyimpan rahsia silam yang kelam, menjadikan misi mereka bukan sahaja fizikal tetapi juga spiritual. Bersama, mereka berhadapan dengan Rogon Lupiah dalam satu pertarungan antara dunia nyata dan alam ghaib.
Keistimewaan Mantera terletak pada gabungan realisme dan unsur kepercayaan lama yang ditampilkan secara harmoni. Berbeza daripada filem seram yang sering bergantung kepada teknik kejutan melampau, Mantera memilih untuk membina suasana seram secara perlahan namun efektif — meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan menggugah emosi. Lakonan mantap barisan pelakon turut mengukuhkan penceritaan. Jovenia Jim berjaya menghidupkan watak Tana dengan emosi dan ketahanan jiwa yang meyakinkan, manakala Namron, sebagai Sarjan Ramli, memberikan sokongan yang kuat dan berpengaruh.
Dari segi teknikal, sinematografi Mantera memanfaatkan sepenuhnya keindahan serta misteri semula jadi lokasi penggambaran seperti Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud. Penggunaan pencahayaan suram, tona warna dingin dan suntingan bunyi yang menggangu menghasilkan suasana yang tegang dan menghantui. Semua elemen ini disusun kemas bagi menjerat emosi penonton dan mengekalkan ketegangan sepanjang filem.
Apa yang lebih menarik, penggambaran Mantera turut dicemari dengan beberapa kejadian luar biasa. Dalam satu babak pemanggilan roh, dua pelakon wanita mengalami kejadian kerasukan yang benar-benar mengejutkan kru produksi. Dalam insiden lain, seorang kru dikatakan terjatuh ke dalam gaung selepas merasakan dirinya seperti ‘ditarik sesuatu’. Kedua-dua kejadian ini menambah lagi unsur seram di balik tabir, seolah-olah semangat dalam filem turut ‘hidup’ sepanjang proses penggambaran.
Secara keseluruhannya, Mantera bukan hanya sebuah filem seram biasa. Ia membuka ruang baharu dalam genre ini dengan menampilkan elemen warisan spiritual dan kepercayaan yang jarang diketengahkan di layar utama. Chester Pang berjaya mengadun elemen tradisi, emosi dan ketegangan menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja menyeramkan, tetapi juga penuh makna.
Bagi pencinta filem seram yang mencari sesuatu yang lebih mendalam dan berbeza daripada kebiasaan, Mantera adalah pilihan wajib. Ia bukan hanya menyerang deria, tetapi turut menyentuh sisi paling gelap dalam jiwa penontonnya.