KUALA LUMPUR, – Seorang bekas kakitangan kanan PETRONAS, M Khairul Akmal bin M Jasni, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 5, Jalan Duta atas pertuduhan cuba membocorkan dokumen strategik kepada Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Tertuduh yang pernah berkhidmat selama 14 tahun sebagai Performance Reporting Manager di PETRONAS Upstream, didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Jun 2024, antara jam 3.19 petang hingga 3.21 petang di sebuah kediaman di Marc Service Residence, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan, Khairul Akmal didakwa cuba mendedahkan dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada PETROS dokumen yang diperoleh ketika menjalankan tugas rasmi sebagai Pengurus Unit Prestasi Perniagaan di PETRONAS.
Tindakan itu disifatkan sebagai pelanggaran terhadap Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes ini telah menimbulkan spekulasi bahawa PETROS mungkin memiliki kelebihan dalam rundingan dengan PETRONAS melibatkan aktiviti komersial seperti urus niaga gas asli.
Didapati Khairul Akmal dituduh mendedahkan dokumen strategik tersebut kepada pihak atasan PETROS dan maklumat seperti hasil jualan dan keuntungan PETRONAS boleh diguna pakai oleh pihak PETROS dalam setiap rundingan.
“Menjual data dan maklumat rahsia milik syarikat ni tindakan macam pengkhianat negara” kata Syahmi, jurutera minyak upstream yang pernah berkhidmat dengan Shell pada tahun 2013-2023
Ini mungkin salah satu sebab isu PETROS dan PETRONAS sehingga hari ini tidak selesai, dan terdapat banyak lagi maklumat yang mungkin dibocorkan kepada pihak PETROS yang mungkin rakyat tidak tahu.
Difahamkan, selepas meninggalkan PETRONAS pada akhir tahun 2024, Khairul Akmal telah menyertai Sarawak Petchem pada April tahun 2025 selepas 3 bulan tidak bekerja.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada bulan hadapan.-SUARA.TV