KUALA LUMPUR – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diatur Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata kerjasama antara dua gabungan itu sepatutnya dianggap sebagai perkahwinan yang diatur ‘orang tua’, yang mempertemukan jodoh antara PH dan BN.
Beliau turut yakin pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan serta Majlis Pimpinan Perpaduan di Kedah akan memberikan hasil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya penuh yakin apa yang saya sebut selama ini, (kerjasama PH dan BN) bukan kahwin paksa, ini adalah perkahwinan hasil jodoh yang dipertemukan oleh orang tua, orang tua yang dimaksudkan adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Baginda yang mempertemukan jodoh kami dan insya-Allah percintaan selepas pernikahan ini akan lebih intim dan membawa kebahagiaan kepada kerukunan rumah tangga.
“Ini bagi mencapai hasrat bersama kami untuk melahirkan Kedah yang hebat pada masa akan datang melalui gabungan ini,” lapor BH di Sungai Petani.
Mahfuz berkata demikian membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menganggap kerjasama antara BN dan PH sebagai perkahwinan paksa.
Sebelum ini, media melaporkan Ismail Sabri berkata, ‘perkahwinan paksa’ antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepemimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, keretakan kini mula dilihat dalam ‘perkahwinan paksa’ antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain.