KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) tegas berpendirian menolak UMNO, Bersatu dan PAS dalam konsep ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15).
Presidennya, Mohamad Sabu menjelaskan tidak mungkin Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.
Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada UMNO, Bersatu atau PAS.
“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah
melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu.
“Tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat,”tegas Mohamad dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau lagi seperti mana tidak wajar menganggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab Timbalan Presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat.
“Begitu juga adalah tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan MUDA sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu.
“Sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU ke-15, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu,” ujar beliau.
Mohamad menambah, ke arah ini Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan juga PN.
“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU
ke-15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu.
“Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah daripada berjuang untuk menang,” bidas beliau.
Dalam pada itu Mohamad mengulangi penegasan bahawa ‘khemah besar’ yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU-15.