Anal Kapal TLDM Hilang Disyaki Terjatuh ke Laut

KOTA KINABALU – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga kru kapal diraja (KD) Perantau dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Bintulu, Sarawak.

Anggota terbabit disedari hilang selepas tidak hadir ke perbarisan wajib rutin harian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Mangsa kali terakhir dilihat berada di bilik rehat kapal itu pada jam 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, di sini.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob, berkata bilik operasi sudah dibuka di Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“Usaha pencarian di laut dilaksanakan oleh KD Selangor dan helikopter Fennec, selain dibantu kapal maritim (KM) Tabah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Bintulu, Sarawak.

“Pihak Markas Wilayah Laut 2 memohon bantuan udara dari pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku di perairan kira-kira 90 batu nautika barat daya Bintulu.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal berada di Sabah Sarawak selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

Pelabuhan terakhir dilawati adalah Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk ulang bekal sebelum meneruskan pelayaran pulang ke Lumut. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.