Syarikat Apple Kumpul 999.7 kg Emas Bernilai RM156 Juta Dalam Telefon Terpakai

LONDON — Apple berjaya mengumpulkan semula 2,204 pound (999.7 kg) emas daripada telefon keluarannya yang dikitar semula tahun lalu.

 

Jumlah ini bersamaan US$40 juta (RM156 juta).

 

Dalam laporannya mengenai tanggungjawab alam sekitarnya yang diterbitkan baru-baru ini, syarikat gergasi itu menyatakan ia mengumpulkan hampir 90 juta pound (41 juta kg) buangan elektronik melalui program kitar semula.

 

“Kami berusaha keras untuk memastikan alatan elektronik tidak dibuang di tempat sampah agar sumber-sumber berharga di dalamnya boleh diguna semula,” laporan itu dipetik portal Daily Mail semalam.

 

Apple bukan sahaja berjaya mendapatkan kembali emas melalui program itu, ia juga menemui 6,612 pound (2,999 kg) perak, 2.9 juta pound (1.3 juta kg) tembaga dan 23.1 juta pound (10.5 juta kg) keluli.

 

Jumlah itu datang daripada 61,357,800 pound keseluruhan bahan yang diperolehi daripada beberapa program pro-alam sekitarnya pada 2015.

 

“Kami juga nampak peluang besar untuk memperbaiki lagi cara kami mengambil semula sumber-sumber dari keluaran-keluaran kami.

 

“Teknik kitar semula sedia ada seperti mencerai-beraikannya hanya berjaya mengumpul semula beberapa bahan dan selalunya kualitinya sudah merosot.

 

“Maka kami mencipta Liam, sekumpulan robot yang direka untuk merungkaikan 1.2 juta telefon setahun, memisahkan semua komponen berkualiti tinggi dan mengurangkan keperluan untuk melombong sumber asli dari bumi,” portal itu memetik laporan Apple.

 

Prototaip Liam kini beroperasi di California, Amerika Syarikat dan Belanda.

 

“Ia masih satu ujikaji dalam teknologi kitar semula, dan kami berharap cara berfikir kami ini akan membuka ilham kepada orang lain dalam industri ini,” kata syarikat itu lagi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.