SPRM Akan Keluarkan Kenyataan Isu Banglo Guan Eng

GEORGETOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu pembelian banglo Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn yang dikaitkan dengan pembelian tanah Taman Manggis di sini, dalam tempoh terdekat.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata siasatan mengenai kes itu masih berjalan dan dijangka Bahagian Operasi SPRM akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara berkenaan.

 

“Hanya Bahagian Operasi yang boleh menjawab (mengenai siasatan). Tunggulah nanti.

 

“Bahagian operasi akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat dan tindakan penyiasatan masih berjalan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Ikrar Intergriti Korporat SPRM bersama PBA Holdings Berhad di sini, hari ini.

 

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Guan Eng dalam minggu ini, Mustafar enggan mengulas mengenai perkara itu dan meminta semua pihak supaya bersabar.

 

Semalam, SPRM mendakwa pihaknya sudah mempunyai tindakan serta perancangan untuk memanggil Guan Eng dalam melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

 

Mustafar dipetik berkata, Bahagian Operasi akan menentukan masa sesuai untuk memanggil Guan Eng.

 

Sebelum ini pelbagai pihak mendesak SPRM mempercepatkan siasatan terhadap Guang Eng.

 

Bagaimanapun selepas hampir sebulan, Guan Eng masih belum dipanggil SPRM untuk memberi keterangan sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung perkembangan siasatan isu berkenaan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.