Umno Kedah Sokong Najib Sebagai PM Dan Presiden

Alor Setar – Umno Kedah hari ini membuat ketetapan menyokong penuh kepimpinanan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri merangkap Presiden Umno.

 

Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri, Dato Paduka Ahmad Bashah selaku jurucakap menegaskan, tidak berlaku sebarang pepecahan di dalam kerukunan UMNO Kedah dan mereka tetap setia dengan Najib.

 

“Adun (ahli dewan undangan negeri) dan Ketua Bahagian Umno Kedah menyokong penuh kepimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

 

“Kami juga menyokong penuh kepimpinan YAB Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Kedah yang telah diberi kepercayaan oleh Presiden parti dan amanah oleh rakyat” ujarnya lagi dalam sidang media sejurus selepas menghadiri Mesyuarat Khas Perhubungan Umno Kedah.

 

Mesyuarat khas pada pagi tadi itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon.

 

Mukhriz walau bagaimanapun tidak hadir dalam sidang media yang diadakan itu.

 

Menurut Ahmad Bashah, Umno negeri turut membuat ketepatan untuk menghormati pendirian Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

“Kami meminta Tun Dr Mahathir agar memberi masa kepada PM dalam perkara yang berbangkit sebelum ini.

 

“Kami turut menyokong saranan YAB PM yang mahukan 1MDB disiasat oleh Jabatan Audit Negara dan hasilnya diserahkan pada PAC” ujarnya lagi.

 

Ahmad Bashah turut menjelaskan, kesemua Adun dan Ketua Bahagian Umno Kedah telah bersetuju agar Mukhriz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang dijadualkan pada 24 April ini kerana memahami situasi yang beliau alami.

 

Umno Kedah turut memutuskan untuk membatalkan mesyuarat perhubungan Umno negeri yang akan dijadualkan pada 24 April ini.

 

Menurutnya segala keputusan itu dicapai melalui persetujuan dan konsesus bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.