Remaja Melayu Menyesal Lukis Tatu Di Badan

Pokok Sena – Megah dan bangga memiliki tatu dahulu membawa kepada kekesalan buat seorang pemuda dari Sungai Petani, Kedah.

 

Rizman (bukan nama sebenar), 25, berkata, dia sanggup melukis tatu pada anggota badannya semata-mata sebagai lambang kemegahan ketika menganggotai kumpulan gengster sebelum ini.

 

Fikirnya, tatu berkenaan akan menampakkan dirinya lebih berkuasa dan orang ramai akan nampak gerun.

 

“Saya kesal dengan segala perbuatan lalu dan mahu lebih dekat dengan agama,” katanya.

 

Rizman kini menjadi salah seorang penghuni di Penjara Pokok Sena dan melalui Program Pembangunan Insan  di situ.

 

Menceritakan kisah zaman remaja, Rizman menyatakan dia banyak menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah hingga terpesong jauh daripada agama.

 

“Bapa selalu memarahi saya melukis tatu, namun masa itu saya tidak hiraukan malah bangga memiliki tatu.

 

“Di penjara ini banyak memberi pengajaran kepada saya untuk berubah.

 

“Melalui bimbingan dan nasihat dari ustaz di sini telah memberi hidayah kepada saya supaya menghindari perbuatan terkutuk itu,” katanya yang dijatuhkan hukuman selama tiga tahun serta empat sebatan kerana kes samun.

 

Dalam pada itu, dia tidak menolak kecetekan ilmu agama punca mudah terjerumus dalam aktiviti tidak sihat hingga membawa ke tirai besi.

 

“Sebelum ini saya langsung tidak mengetahui hukum hakam agama, saya jalani kehidupan mengikut landasan sendiri.

 

“Saya tidak tahu apabila ada tatu di badan, segala perbuatan saya terutamanya mengambil wuduk tidak diterima ALLAH. Malah air tidak boleh sampai ke dalam kulit keseluruhannya,” katanya yang mula belajar al-Quran.

 

Katanya, dia berazam menanggalkan segala tatu di badannya itu apabila keluar nanti dan kembali ke landasan kehidupan yang sebenar.

 

“Saya bersyukur dapat masuk penjara ini kerana ALLAH masih sayangkan saya.

 

“Di sinilah saya dapat belajar segala-galanya terutamanya tentang ilmu agama serta dapat memulihkan kembali kehidupan sebagai hamba ALLAH,” katanya ketika ditemui dalam pengajian membaca al-Quran di surau Penjara Pokok Sena. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.