PKR Senarai Pendek Dua Calon Di Permatang Pauh

Bukit Mertajam – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan parti itu telah menyenarai pendek dua calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, 7 Mei ini.

 

“Pemilihan calon tersebut juga turut dipersetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi peguamnya dan juga berdasarkan konsensus parti.

 

“Calon yang dipilih akan diumumkan pada malam 24 April ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan pusat operasi parti itu di Taman Samagagah di sini, hari ini.

 

Kerusi Permatang Pauh diisytiharkan kosong selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga beliau atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Terdahulu Wan Azizah dilihat mengadakan pelbagai program dan kempen awal di sekitar Permatang Pauh antaranya ‘walkabout’ bersama penduduk setempat.

 

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas barisan hakim diketuai Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria mendapati beliau bersalah melakukan liwat.

 

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan Azizah dan anak perempuannya Nurul Nuha bakal dijadikan calon bagi kawasan berkenaan.

 

Namun menurut Azizah, perkara itu hanya akan diputuskan PKR.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.