Penganggur Ditemui Mati Tergantung

Kota Tinggi – Seorang lelaki berketurunan Cina ditemui mati dalam keadaan tergantung di belakang bangunan lama Balai Polis Trafik, Jalan Omar di sini malam tadi.

 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suprintendan Rahmat Othman berkata, mangsa yang dikenali Ching Chiew Woo, 47, berasal dari Kampung Lukut ditemui kira-kira jam 7.40 malam oleh ahli keluarganya yang mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah hingga lewat senja.

 

Katanya, mangsa sebelum itu keluar dari rumah untuk pergi memancing di Sungai Johor bersebelahan dengan balai trafik lama berkenaan kira-kira jam 4 petang.

 

“Mangsa yang tidak bekerja mempunyai seorang isteri dan empat orang anak berusia dua dan sebelas tahun.

 

“Mangsa dipercayai bertindak demikian ekoran menghadapi tekanan hidup,” katanya hari ini.

 

Katanya, mayat mangsa yang tergantung itu telah diturunkan dengan bantuan pihak bomba dan kemudian dibawa ke Unit Forensik Perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

 

“Laporan menunjukkan punca kematian akibat ‘tergantung’ dan kematian tidak melibatkan unsur jenayah,” tambah Rahmat. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.