Orang Jahil Sahaja Tak Mahu PAS Dipimpin Ulama – Nik Zawawi

Kuala Lumpur – Hanya mereka yang jahil sahaja berpandangan PAS tidak perlu dipimpin oleh golongan ulama atau mereka yang arif dalam soal hukum agama, tegas Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.

 

Ujarnya, jika golongan ulama tidak dianggap penting di dalam parti itu, ia sekaligus bercanggah dengan fitrah semulajadi agama Islam.

 

“Mana-mana kenyataan yang menyatakan bahawa tidak perlu golongan ulama untuk memimpin gerakan Islam, secara automatiknya kita dapat faham bahawa ia datang daripada orang yang jahil dengan masalah ilmu dan dasar-dasar perjuangan Islam.

 

“Jika PAS tidak dipimpin oleh golongan ulama, bagaimana kita hendak merealisasikan agenda Islam dalam memperjuangkan Islam? Orang yang memahami selok-belok, syariat, adab bdaya dan hubungan di antara Islam dan bukan Islam adalah daripada golongan ulama,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

 

Menjelangnya Muktamar PAS yang akan berlangsung Jun depan, parti itu berdepan dengan pelbagai krisis dalaman yang membabitkan pertelagahan golongan ulama dan profesional.

 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik pemimpin dan ahli-ahli parti itu yang didakwa ‘mesra Umno-BN’ dengan meminggirkan prinsip yang disepakati bersama di dalam Pakatan Rakyat (PR).

 

Malah kebangkitan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) yang dianggotai oleh ahli-ahli parti itu juga menjadi halangan sokongan terhadap golongan ulama.

 

Sebelum ini beberapa pemimpin parti Islam itu mendesak perwakilan ‘mengubah’ struktur kepimpinan parti yang selama ini diterajui golongan ulama kepada yang lebih mesra PR.

 

Nik Zawawi bagaimanapun memberi peringatan kepada ahli-ahli parti supaya tetap berpegang kepada struktur kepimpinan parti yang asal supaya PAS dapat melaksanakan perjuangannya.

 

“Kepada semua perwakilan, buat pilihan yang tepat dengan menggabungkan golongan ulama, golongan profesional dan aktivis yang benar-benar memahami dasar dan prinsip perjuangan Islam. Itu yang mustahak.

 

“Supaya parti tidak terumbang-ambing, jika dipimpin oleh mereka yang tidak faham selok-belok perjuangan Islam, sudah tentu PAS akan menjadi tidak tentu hala tuju dan matlamat perjuangan Islamnya,” tegasnya lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.