Ibu Sayu Dengar Anak Minta Tolong

KOTA  BHARU – ‘Mak, tolong! Mak, tolong!’… hanya laungan itu mampu didengari ketika api marak menjulang bersama asap tebal yang memerangkap seorang gadis lembam, Nor Fatini Buniamin, 25.

 

Nor Fatini kehilangan nyawa dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bechah Hangus, Ketereh, dekat sini, pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

 

Mengimbas peristiwa tragis itu dalam nada teresak-esak, ibu mangsa, Fauziah Mahmud, 58, berkata, dia masih terbayang riak wajah anaknya meminta tolong dari dalam kelambu di bilik tidurnya.

 

“Maafkan saya kerana tak dapat cerita peristiwa ini dengan banyak. Saya masih trauma dan masih teringat lagi arwah meronta-ronta memanggil saya minta tolong.

 

“Saya berusaha untuk keluarkan Nor Fatini dari bilik di mana dia tidur berseorangan, tetapi api terlalu marak dan asap tebal dari dapur. Saya tak mampu mendekatinya. Kami hanya mampu menangis lihat dia ketika kelam kabut menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Baru dua minggu balik kampung

 

Fauziah memberitahu, dia dan suaminya, Buniamin Othman, 60, merupakan pesara kerajaan dan mereka baru dua minggu pulang ke kampung serta menumpang di rumah ibu saudara sementara menunggu rumah mereka di Taman Bechah Limbat siap.

 

Sementara itu, seorang lagi anak Fauziah, Faidah, 22, yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pengkalan Chepa, di sini, berkata, dia bergegas pulang sebaik sahaja dihubungi sepupunya pada jam 5 pagi, memaklumkan kejadian.

 

“Dia kakak saya…sudah pasti kami baik. Makan bersama-sama dan saya sering suap dia ketika makan,” katanya ketika menemani Fauziah menerima kunjungan kaum keluarga dan rakan terdekat untuk bertanya khabar, semalam.

 

Nenek terselamat

 

Dalam pada itu, nenek mangsa, Saadiah Dolah, 83, bernasib baik kerana tidur di rumah bersebelahan ketika kejadian, namun tidak mampu menahan tangisan apabila teringatkan arwah cucunya.

 

“Sebelah siang makcik tinggal di rumah yang terbakar ini, sebelah malam, makcik tinggal di rumah anak (bersebelahan rumah) kerana mudah nak guna tandas.

 

“Makcik baik dengan arwah. Barang hilang tak apa…tapi ini cucu…dia ada dalam rumah dan terkorban dalam kebakaran itu,” katanya sambil menangis.

 

Manakala ibu saudara mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan, Rozita Abdullah, 40, berkata, sebahagian rumahnya turut hangus kerana api merebak dengan cepat.

 

Katanya, dia kelam-kabut ketika dikejutkan oelh suaminya, Zamzuri Mahmud, 46, dan hanya mampu tergamam melihat kejadian.

 

“Ketika itu saya dan suami hanya teringat empat anak saya dan ibu mentua (Saadiah) dan bertungkus-lumus menyelamatkan mereka. Nasib baik saya sempat capai kunci kereta dan alih kereta di hadapan rumah. Tapi kereta kakak ipar saya (Fauziah) tak sempat diselamatkan.

 

Bomba padam api tujuh minit

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rafain Mat Zain memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada kira-kira jam 5.02 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

 

Menurutnya, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Ketereh dan sembilan dari Balai Tunjong bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.

 

“Ketika sampai di lokasi kejadian, rumah terbabit sudah hangus 100 peratus, manakala rumah bersebelahannya terbakar 50 peratus. Kami ambil masa tujuh minit untuk memadamkan api.

 

“Hasil siasatan awal, mangsa dikatakan sudah keluar dari rumah itu, namun masuk semula untuk ambil barang ketika api marak.

 

Dia ditemui maut di tempat tidurnya dan jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kejadian masih disiasat” kata Mohd Rafain. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.