Hadi Nafi Dakwaan Komplot Jatuhkan MB Selangor

Ampang – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan spekulasi yang mendakwa beliau dan bekas Menteri Besar Selangor , Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai agenda sulit untuk melantik semula Khalid sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Mohamed Azmin Ali.

 

“Saya ke Jakarta berjumpa dengan Speaker Dewan perwakilan Indonesia, Bapak Irman Gusman dan berjumpa di kalangan IJMI (Ikatan Cendiakawan Indonesia), Nahdatul Ulama, Timbalan Pengerusi Pertamina dan ahli akademi.

 

“Kami bincang mengenai perpaduan ummah di rantau Asia. Kita tidak mahu penyakit yang ada di Asia Barat berjangkit di sini.

 

“Walaupun kita berbeza padangan di kalangan guru-guru Islam termasuk pemerintah sendiri, kita tetap memilih demokrasi berparlimen walaupun ada kecacatan, kelemahan dan kita tidak setuju tapi ia sekadar cakap saja tetapi tidak sama seperti di negara barat.

 

“Kita tak mahu campurtangan asing di negara kita,” ujarnya ketika ditemui pada majlis penutup Konvensyen Profesional Muslim Se-Malaysia yang diadakan di Auditorium Majlsi Perbandaran Ampang Jaya, petang ini.

 

Beliau mengulas kenyataan sumber yang mendakwa Khalid dan Abdul Hadi ke Jakarta bagi membincangkan pelan sulit untuk melantik semula beliau menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Mohamed Azmin Ali.

 

SuaraTV sebelum ini mendedahkan mengenai lima ADUN PKR akan melompat parti bagi membolehkan PAS dan UMNO membentuk kerajaan negeri baharu yang diketuai Abdul Khalid.

 

Menurut sumber usul itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk.

 

Isu itu bertambah panas apabila spekulasinya mengenainya dikuatkan dengan penyebaran sekeping gambar yang dimuat naik di dalam status facebook Tan Sri Khalid Ibrahim ketika lawatannya di Jakarta baru-baru ini.

 

Melalui gambar tersebut Khalid dan Abdul Hadi dilihat sedang berbincang mengenai ‘sesuatu’ perkara.

 

Lawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke Jakarta pada 16 April lalu, bersama Presiden PAS tiada kaitan dengan dakwaan beliau akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor.

 

Sebaliknya, lawatan separuh rasmi bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bagi mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Islam Indonesia dan membincangkan isu serantau khususnya ukhuwah Islamiyah dan ekonomi.

 

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Khas kepada Abdul Khalid, Faekah Husin kepada sebuah portal berita.

 

“Bagaimanapun, sama ada wujud perbincangan dalam soal politik di Malaysia khususnya di Selangor, ia di luar pengetahuan saya,” kata Faekah.

 

Dia berkata, pihak yang membuat dakwaan itu sepatutnya mendedahkan nama lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa akan melompat parti itu.

 

“Sekiranya benar, siapakan lima ADUN ini, dan parti mana mereka akan melompat,” soalnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.