Gambar Kanak-Kanak Syria Kurus Timbulkan Simpati

Kuala Lumpur – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

 

Peribahasa itu sangat sesuai untuk merujuk tentang nasib seorang kanak-kanak perempuan warga Syria yang gambarnya menjadi viral di laman Facebook.

 

Gambar yang tersebar itu pastinya mampu meraih simpati sesiapa sahaja yang melihatnya serta merasai penderitaan dialami oleh rakyat di negara bergolak berkenaan.

 

Gambar tersebut telah dimuat naik oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Syria Care iaitu sebuah Pertubuhan Penyayang Islam Membantu Syria yang berpangkalan di Malaysia.

 

Bercakap kepada The Rakyat Post ketika dihubungi, Pengurus Besarnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya kini sedang melakukan satu projek bagi mengumpul dana bagi membantu kira-kira 19,500 orang warga Syria yang kini dalam kesusahan.

 

Katanya, projek tersebut yang dipanggil `Food For Syria’ merupakan salah satu daripada langkah membantu menghulurkan makanan ke enam lokasi berbeza di negara berkenaan.

 

“Gambar yang kami muat naik di laman sosial itu merupakan kanak-kanak perempuan bernama Shaza yang tinggal di Timur Ghoutah.

 

“Jika anda melihat badan anak ini terlalu kurus dan kulitnya telah kering dan mukanya terlalu kusam akibat tidak makan dan kekurangan zat.

 

“Justeru, kami sedang mendapatkan sumbangan untuk membuat projek Ramadan bagi membeli keperluan seperti susu dan makanan lain untuk di hantar ke sana,” katanya.

 

Tambah beliau, Rejim Bashar al-Assad yang berada di negara tersebut telah menyekat sebarang penghantarab makanan, ubat-ubatan atau bantuan kemanusiaan di negara itu.

 

Sebagai membantu kanak-kanak di sana terutama menerusi proses tumbesaran mereka, pihaknya kini sedang mengumpul  kewangan untuk membeli kira-kira 7,000 tin susu yang akan dimuatkan di dalam satu kontena, kata Siti Sakinah.

 

Setakat ini katanya, susu berprotin tinggi itu baru dikumpul lebih kurang 3,000 tin sahaja dan perlu ditambah lagi.

 

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk menerusi halaman Facebook syria care:Pertubuhan Penyayang Islam Membantu Syria bagi mendapatkan nombor akaun bank dan aktiviti yang sedang mereka laksanakan. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.