BN Calonkan Hasan Pertahankan Parlimen Rompin

ROMPIN 18 – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menggalas cabaran parti itu mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 5 Mei ini.

 

Pemilihan Hasan, 62, yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Rompin di sini hari ini.

 

Pemilihan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam itu menepati ramalan banyak pihak yang melihat beliau sebagai calon selesa jika BN mahu mengekalkan penguasaan kerusi berkenaan kerana sudah dikenali masyarakat Rompin selain berpengalaman luas dalam politik.

 

Hasan yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar kini memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Rompin berikutan kematian Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

 

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya sejak 1990 selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

 

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu adalah pada Rabu ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.