Ajal Di Muncung Senapang

Jertih – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera akibat terkena tembakan senapang patah ketika memburu di Hutan Kacong, Jalan Lata Tembakah, di sini, tengah malam tadi.

 

Dalam kejadian 12.05 tengah malam tadi, mangsa, Shamsuddin Derahim, 56, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya dikenali sebagai Mat Emi, 40-an, cedera ringan.

 

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata,dua mangsa bersama seorang rakan mereka berusia 50 tahun dikatakan keluar memburu di kawasan hutan berkenaan.

 

Katanya, Shamsuddin yang membawa senapang patah berada di hadapan manakala Mat Emi berada di tengah memegang lampu suluh sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tembakan.

 

“Sejurus bunyi tembakan itu, lelaki yang berusia 50-an itu melihat dua rakannya rebah dan pemeriksaan mendapati Shamsudin sudah meninggal dunia akibat terkena tembakan di dada manakala Mat Emi pula cedera ringan di dada akibat terkena percikan peluru di dada.

 

“Mayat Shamsudin dibawa ke Hospital Besut untuk dibedah siasat manakala dua rakannya kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

 

Menurut Khaled, punca kejadian masih dalam siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.