Video: Anak Merayu Pada Cikgu, Tak Nak Letak Bin Nama Bapa

TIADA seorang lelaki mahupun wanita yang merancang untuk membesarkan anak-anak mereka seorang diri.

 

Namun, jika takdir menentukan bahawa mereka perlu melalui situasi tersebut, maka ibu-ibu dan bapa-bapa diluar sana yang berdepan cabaran berkenaan, anda pasti antara insan yang paling cekal dan tabah di dunia ini.

 

Satu rakaman video animasi menyentuh hati yang memaparkan kisah benar yang diceritakan sendiri oleh seorang ibu tunggal bertajuk “Cikgu, Boleh Tak Saya di Bin kan Mak Saya?” mula tersebar di laman sosial.

 

 

Klip video berdurasi 2 minit 30 saat itu memaparkan pengakuan seorang ibu tunggal yang menceritakan kisah benar dimana anaknya dikatakan tidak mahu mengunakan bin bapanya kerana diabaikan.

 

Ibu tunggal tersebut yang bimbang selepas menerima panggilan daripada seorang guru yang mengajar anak bongsunya meminta supaya datang berjumpa dengan guru terbabit bagi membincangkan masalah anaknya.

 

“Jadi, apabila saya datang ke sekolah. Cikgu pun bertanya samada anak saya ini mempunyai masalah kemurungan atau ada masalah di rumah.

 

“Saya tanya cikgu, “Kenapa, ada masalah besar sangatkah?,” kata ibu tunggal itu sebelum menceritakan hal sebenar kepada guru terbabit.

 

“Cikgu panggil anak saya dengan nama penuh dengan bin bapanya sekali. Ketika itu anak saya buat satu permintaan. Jadi cikgu tanya, apa? “Boleh tak nama saya di bin kan mak saya?”, cikgu tanya kenapa?”

 

“Bapa saya tidak pernah besarkan saya, tidak pernah ambil tahu pasal saya. Jadi, tak ada fungsi nama saya dibinkan dengan bapa saya, lebih baik diletakkan emak saya. Sebab mak saya jaga saya, besarkan saya, bagi saya makan,” kata ibu tunggal terbabit yang memaklumkan usia anaknya pada ketika itu sekitar 10 atau 11 tahun.

 

Menerusi video animasi tersebut, ibu tunggal terbabit menjelaskan kepada guru berkenaan perihal sebenar yang mungkin mendorong anak bongsunya itu membuat permintaan sedemikian.

 

“Saya ada masalah dengan suami saya sebab dia pun tidak bertanggungjawab dan tidak pernah ambil tahu pasal anak. Dan mungkin dari situ anak saya itu terfikir, lebih baik letak nama mak, ayah pun jarang-jarang sekali berjumpa,” ujar ibu tunggal itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.