Sultan Johor Hadir Raptai Penuh Istiadat Kemahkotaan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiri majlis raptai penuh Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, di sini hari ini.

 

Baginda bersama Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di pekarangan istana kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta barisan Exco kerajaan negeri.

 

Sebelum itu, kenderaan rasmi yang akan digunakan semasa Istiadat Kemahkotaan Isnin depan bergerak secara konvoi diiringi lebih 10 motosikal Harley Davidson Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Kenderaan rasmi itu berarak keluar dari Istana Bukit Serene melalui Jalan Wong Ah Fook, Jalan Trus dan bergerak menuju ke Pantai Lido sebelum memasuki Istana Besar bagi menyempurnakan raptai perbarisan lintas hormat khas kepada baginda.

 

Setibanya di pekarangan Istana, Sultan Ibrahim disambut oleh ke­tua-ketua jabatan kerajaan sebelum lagu Bangsa Johor dimainkan oleh 35 anggota Unit Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

 

Selepas itu, baginda dilihat ma­suk ke dalam bangunan Istana bagi melangsungkan upacara meletakkan mahkota yang dilakukan secara tertutup.

 

Turut kelihatan pada majlis raptai itu adalah lintas hormat udara kepada Sultan Ibrahim dilakukan oleh tujuh helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Darat Malaysia.

 

Raptai penuh dijadualkan berlangsung sehingga esok. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.