Remaja 17 Tahun Jadi Pengantin Termuda

MUAR – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menjadi pengantin termuda daripada 26 pasangan yang dinikahkan  pada Majlis Walimatulurus Perdana Daerah Muar 2015 di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

 

Norazlina Faezzlin Radzali dan suaminya, Mohd Azumali Wagi, 25, mengambil keputusan berkahwin selepas mendapat restu bapanya, Radzali Atan, 54.

 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, meskipun baharu menamatkan persekolahan tahun lalu, dia tidak menyesal mengambil keputusan berkahwin awal kerana menganggap jodohnya sudah tiba.

 

Baginya, bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman seperti itu (nikah ramai-ramai) dan kenangan ini akan menjadi momen terindah dalam hidup mereka.

 

“Usia bukan penghalang untuk bergelar isteri, tetapi yang penting kesediaan individu memikul tanggungjawab sebagai isteri pada usia muda,” katanya.

 

Norazlina Faezzlin berkata, kepada pasangan muda lain yang berniat berkahwin awal, teruskan hasrat jika sudah bersedia.

 

Namun katanya, mereka perlu mendapatkan restu kedua ibu bapa dahulu supaya perkahwinan dibina beroleh keberkatan dan kekal bahagia.

 

Radiah Jasa, 21, pula berkata, pakej RM1,900 yang disediakan Pejabat Kadi Daerah Muar, sangat membantu meringankan bebannya dan pasangan untuk mendirikan rumah tangga.

 

“Tawaran seperti ini juga membolehkan saya menyegerakan perkahwinan yang dirancang dilaksanakan tahun ini.

 

“Amat bagus sekiranya tawaran ini diteruskan pada tahun akan datang supaya lebih ramai lagi pengantin berpeluang merasai kelebihan yang saya peroleh ini,” katanya.

 

Sementara itu, Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, seramai 26 pasangan dari seluruh negara antaranya Johor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai program itu dengan bayaran RM1,900 untuk setiap pasangan.

 

Menurutnya, promosi perkahwinan ini dilakukan menerusi risalah, banting dan Facebook bertujuan meringankan beban dan memudahkan pasangan melangsungkan perkahwinan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.