Piala FA: Kelantan, Perak, PP, JDT II Dan Sime Darby Mara Suku Akhir

KUALA LUMPUR – Sime Darby FC mencipta kejutan apabila membenam pasukan pilihan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-2, malam ini untuk gah mara ke suku akhir kejohanan bola sepak Piala FA, musim ini.

 

Turut layak ke kelompok lapan terakhir selepas tamat pusingan ketiga ini adalah Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Johor Darul Ta’zim (JDT II) yang masing-masing merakamkan kemenangan penting.

 

Di Stadium Selayang, pasukan tercorot Liga Super, Sime Darby menyingkirkan pasukan tangga kedua liga, PDRM untuk melangkah bergaya ke suku akhir bertemu Kelantan.

 

Ketinggalan seawal 39 saat permainan dimulakan menerusi penyudah kemas penyerang import PDRM, Dramane Traore, Sime Darby kendalian Ismail Zakaria bangkit membalas dua gol hasil tandukan Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-44 dan tandukan Ivan Dragicevic m-48.

 

Biarpun PDRM kendalian Azman Adnan berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-63, Sime Darby yang muncul naib juara pada 2012 kembali garang menambah dua lagi gol menerusi Nemanja Vidakovic pada minit ke-75 dan 79.

 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, gol daripada Lee Gil Hoon pada minit ke-80 mengesahkan Pulau Pinang kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan Matrix 2-1.

 

Terdahulu, pemain tuan rumah, Shahrizal Mohd Saad memberi gol pendahuluan seawal minit kedua sebelum pemain Pulau Pinang, Alberto Goncalves tampil menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

 

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan layak selepas menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dengan gol tunggal menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-64.

 

Di Stadium Perak, Woong Nam Kung menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 31 membantu Perak menewaskan T-Team 2-1.

 

Terdahulu, pelawat mendahului pada minit ke-14 menerusi jaringan Farhod Tadjiev.

 

Di Stadium Darulaman, JDT II menewaskan tuan rumah, Kedah 1-0 dengan Muhammad Akram muncul wira pasukan menerusi jaringan tunggal pada minit ke-88. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.